Kabel dasar laut perkukuh rangkaian hubungan di Malaysia.
AGENDANASIONAL

Menteri: Empat lagi kabel dasar laut penuhi keperluan rangkaian hubungan negara

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Kerajaan sedang melaksanakan penambahan empat kabel dasar laut baharu bagi membantu menampung keperluan rangkaian hubungan di Malaysia, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa berkata empat kabel itu antaranya melibatkan Sistem Kabel Bay to Bay Express (BtoBE) oleh Facebook dengan kerjasama Time Dotcom Berhad selaku rakan pendaratan di Cherating pada suku pertama 2023.

“Kedua ialah ialah Sistem Kabel MIST oleh NTT dengan kerjasama Arus Restu Sdn Bhd selaku rakan pendaratan di Morib dengan jangkaan siap pada suku kedua 2023.

“Ketiga ialah Sistem Kabel IAX yang akan mendarat di Morib dengan jangkaan siap penghujung 2022, manakala keempat ialah Sistem Kabel BaSICS oleh PP Telecommunication Sdn Bhd akan mendarat di Kuching dengan jangkaan siap hujung 2022,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew yang ingin tahu perincian mengenai pautan Malaysia kepada rangkaian internet global sedia ada dan yang telah dirancang termasuk bilangan pautan kabel dasar laut.

Annuar berkata Malaysia sebenarnya dihubungkan dengan 17 perkhidmatan kabel dasar laut yang berbeza dan buat masa ini kapasiti jaringan sedia ada adalah lebih daripada mencukupi bagi menampung permintaan untuk masa akan datang.

Beliau berkata daripada 17 kabel dasar laut itu, empat daripadanya terhubung ke Sarawak dan adalah dalam kategori rangkaian teras yang menghubungkan Sabah dan Sarawak kepada dunia luar.

“Sarawak dan Sabah telah dihubungkan dengan dua sistem kabel dasar laut sedia ada iaitu Sistem Kabel Rakyat Malaysia (SKRM) oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) yang menghubungkan Mersing ke Kuching, Bintulu dan Miri dengan kapasiti semasa 7.4 terabit per sec (Tbps) dan sistem kabel East-West dari Mersing ke Kuching oleh Sacofa Sdn Bhd dengan kapasiti semasa 600 gigabit per sec (Gbps).

“Sistem Kabel BaSICS oleh PP Telecommunication Sdn Bhd dengan kapasiti 48 Tbps yang dijangka siap suku kedua 2022 bakal berfungsi bagi not gerbang antarabangsa yang baru bagi Sarawak,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :