Seorang guru memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka bersama pelajar pada sesi persekolahan 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Kota Bharu pada 9 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Menteri: Guru sementara bahasa Inggeris ke jawatan tetap jika penuhi syarat

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Guru interim bahasa Inggeris (BI) yang dilantik pada 29 April 2019 dan akan tamat tempoh lantikan pada 21 April ini bakal dilantik ke jawatan tetap sekiranya memenuhi syarat, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata guru terbabit perlu memenuhi syarat penilaian Rangka Kerja Bersama Eropah Rujukan Bahasa (CEFR) pada tahap mahir (proficient) iaitu CEFR C1 dan lulus temu duga.

“Pegawai ini akan dilantik tetap sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan (PPP) Gred DG41 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi guru yang tidak memenuhi syarat CEFR C1, Radzi berkata SPP akan turut menemu duga mereka untuk tujuan lantikan tetap sebagai PPP Gred DG41, tetapi perlu mencapai tahap CEFR C1 dalam tempoh percubaan, iaitu satu hingga tiga tahun untuk tujuan pengesahan dalam perkhidmatan.

Beliau berkata Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menetapkan bahawa setiap murid yang melalui sistem pendidikan di negara ini perlu mahir dan fasih berbahasa Melayu serta mahir berbahasa Inggeris pada tahap ‘independent proficiency’ mengikut takrifan CEFR.

Radzi berkata berikutan itu, mulai tahun ini urusan pengambilan PPP baharu bagi opsyen BI perlu mengambil kira penguasaan Bl calon pada tahap mahir, iaitu tahap CEFR C1.

“Kementerian sentiasa berusaha meningkatkan kompetensi guru BI bagi memberi impak kepada pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Ini secara langsung meningkatkan tahap penguasaan murid dalam BI seperti yang diaspirasikan berdasarkan piawaian antarabangsa CEFR,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :