Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Hari Pendengaran Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di Hospital Serdang pada 3 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Kelab malam kekal ditutup dalam fasa peralihan endemik

SHAH ALAM, 9 MAC: Kelab malam masih tidak dibenarkan beroperasi dalam peralihan ke fasa endemik bermula 1 April ini, kata menteri kesihatan.

Menurut Khairy Jamaluddin, larangan itu dikekalkan berikutan premis hiburan terbabit berisiko tinggi untuk menyebarkan jangkitan Covid-19.

“Hanya satu jenis premis sahaja berada dalam senarai negatif iaitu kelab malam kerana persekitaran yang berisiko tinggi jika dibuka meskipun dalam fasa peralihan endemik,” katanya dalam sidang media hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan negara memasuki fasa peralihan endemik dan pembukaan semula sempadan negara awal bulan depan.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko dan mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Malaysia menutup sempadan negara kepada pelancong dan pelawat asing sejak Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa pada 18 Mac 2020 untuk mengekang penularan Covid-19.


Pengarang :