Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Terserah SPRM siasat kes kontrak kapal tempur RM24 juta

SHAH ALAM, 14 MAC: Kementerian Pertahanan menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk menyiasat butiran palsu bernilai RM24 juta berkaitan kontrak perolehan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Dalam jawapan bertulis kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini, kementerian juga menyerahkan kepada SPRM untuk mengambil tindakan sewajarnya jika berlaku ketidakpatuhan terhadap perolehan itu.

Terdahulu, ahli parlimen Port Dickson itu meminta menteri kanan pertahanan menyatakan pendiriannya berhubung butiran palsu dalam kontrak pembinaan enam LCS.

Dalam soalannya, Anwar juga ingin tahu sama ada tatacara operasi piawai (SOP) pembelian aset pertahanan dipatuhi dan tindakan yang sudah diambil terhadap pihak yang melanggarnya.

Januari lalu, SPRM dilaporkan menahan seorang lelaki berusia 62 tahun yang menjadi broker kontrak perolehan itu, selain dua ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat yang turut terlibat.

Ia susulan laporan Presiden Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid, pada 21 November tahun lalu berhubung projek pembinaan yang gagal diserahkan mengikut jadual.

Projek bernilai RM9.128 bilion itu dianugerahkan kepada Bousted Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) melalui Kementerian Pertahanan dan sejumlah RM6 bilion sudah dibayar bagi pembinaan keenam-enam kapal berkenaan secara serentak.

Bagaimanapun, hingga kini tiada satu pun LCS yang disiapkan dan diserah kepada TLDM walaupun perjanjian kontrak pada Januari 2014 menggariskan bahawa LCS 1 sepatutnya diserahkan kepada kerajaan pada April 2019.


Pengarang :