Maklumat berkaitan cuaca serata Malaysia boleh dirujuk dilaman sesawang www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MetMalaysia: Orang ramai dinasihat lebih waspada ketika fasa peralihan monsun

SHAH ALAM, 12 MAC: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menasihatkan orang ramai lebih berwaspada sepanjang fasa peralihan monsun.

MetMalaysia dalam kenyataan di Facebook berkata, fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 14 Mac ini dan berterusan hingga pertengahan Mei 2022.

“Permulaan fasa ini menandakan berakhirnya monsun timur laut yang bermula sejak 3 November 2021.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia,” katanya.

Dalam kenyataannya semalam, MetMalaysia berkata semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir, yang lazimnya membawa hujan lebat beserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

Menurut kenyataan itu, kejadian itu berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.

Katanya, keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.


Pengarang :