Orang ramai beratur untuk membeli barang keperluan harian pada Program Jualan Prihatin Rakyat di Jalan Pandan 8, Pandan Jaya pada 12 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Minyak masak paket 1kg RM2 di program jualan murah hujung minggu ini

SHAH ALAM, 24 MAC: Sebanyak 500 minyak masak paket akan dijual dalam program jualan prihatin rakyat hujung minggu ini.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata minyak paket satu kilogram itu dijual pada harga RM2 berbanding RM2.50 dalam pasaran luar.

“Minyak masak antara produk yang menjadi rebutan dalam kalangan rakyat dan sukar diperolehi. Oleh demikian, kita akan bawa produk ini terus kepada pengguna supaya memudahkan mereka.

“Untuk permulaan, kita akan sediakan 500 paket untuk lokasi program jualan prihatin rakyat yang dijalankan pada hujung minggu ini. Kita akan hadkan belian dua paket bagi setiap pelanggan,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di Wisma PKPS semalam.

Pada 27 Februari, Kerajaan Negeri memutuskan menjual empat barang keperluan harian iaitu ayam, telur, daging dan ikan pada harga murah sehingga menjelang Aidilfitri menerusi program jualan prihatin rakyat.

Program pada setiap Sabtu dan Ahad secara berkala di seluruh negeri adalah susulan program intervensi harga makanan ehsan yang dilancar Dato’ Menteri Besar awal Februari lalu.

Sebanyak 62 lokasi sudah dikenal pasti bagi tujuan berkenaan iaitu 24 di bawah Selangor Agro Market manakala selebihnya di bawah PKPS.


Pengarang :