Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bersama empat Anugerah Pengiktirafan Diamond yang diterima pada 22 Mac 2022. Foto MPHS
AGENDABERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPHS: Empat anugerah Diamond bukti komitmen ke arah bandar rendah karbon 2035

SHAH ALAM, 25 MAC: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menerima empat Anugerah Pengiktirafan Diamond di atas pencapaian dalam mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) pada Selasa lalu.

Menurut pihak berkuasa tempatan itu, pengiktirafan berkenaan diperoleh hasil penyertaan di dalam program cabaran bandar rendah karbon 2030 (LCC2030C) bagi tahun 2021.

“Pengiktirafan Diamond ini diperoleh menerusi satu kategori zon iaitu bandar Kuala Kubu Bharu dan tiga kategori rakan kongsi lain iaitu ibu pejabat MPHS, Hospital Kuala Kubu Bharu dan Masjid Ar-Rahimah Kuala Kubu Bharu,” katanya di Facebook.

MPHS memaklumkan dalam majlis yang dihadiri Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man itu, pihaknya turut menerima empat pensijilan sementara (provisional certificate).

Katanya, empat pensijilan itu membabitkan satu kategori zon iaitu Kawasan Perindustrian Kenanga – Jasmine Bukit Beruntung dan tiga kategori rakan kongsi iaitu Sekolah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu 2, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Kuala Kubu Bharu dan SJK Cina Khing Ming di atas usaha pembangunan data penanda aras rendah karbon.

“MPHS komited dalam menyokong inisiatif bandar rendah karbon dan menetapkan sasaran Hulu Selangor menuju ke arah perbandaran rendah karbon pada 2035,” katanya.


Pengarang :