Pengunjung mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup mulut dan mengimbas QR kod sebelum masuk ke Bazar Ramadan Seksyen 13 Shah Alam pada 13 April 2021. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPKL: SOP tambahan di bazar Ramadan elak penularan Covid-19

SHAH ALAM, 31 MAC: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menetapkan tatacara operasi piawai (SOP) tambahan di semua bazar Ramadan sebagai langkah keselamatan mengelak penularan Covid-19.

Yang Dipertuanya Dato’ Amirul Azizan Abdul Rahim berkata penganjur perlu melantik petugas bagi mengawal pengunjung, penyusunan peniaga, kaunter masuk dan lalu lintas.

“Selain mendaftar kod bar MySejahtera, menggunakan pelitup muka setiap masa dan menggunakan cecair pembasmi kuman, amalan penjarakan satu meter antara gerai dilakukan bagi mengelakkan kesesakan pengunjung.

“Peniaga atau pengunjung yang mempunyai gejala demam, batuk dan selsema tidak dibenarkan memasuki tapak bazar,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, beliau mengingatkan penganjur dan peniaga menyediakan plastik sampah selain membersihkan tapak niaga selepas tamat waktu operasi.

“Pihak penganjur perlu bertanggungjawab menjaga kebersihan kawasan dan ketenteraman orang ramai supaya tidak menimbulkan kacau ganggu ketika perniagaan dijalankan.

“Sebarang pembakaran terbuka adalah dilarang dan sebarang kemalangan bukan di bawah tanggungjawab MPKL,” katanya yang turut melarang peniaga menggunakan khidmat warga asing dalam aktiviti perniagaan.


Pengarang :