Pengunjung perlu mengimbas kod QR MySejahtera sebelum memasuki premis. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

MySJ: Khairy beri penjelasan di Dewan Negara Khamis ini

PORT DICKSON, 30 MAC: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin akan menjelaskan secara terperinci berkenaan persoalan dibangkitkan beberapa pihak mengenai pelantikan MySJ Sdn Bhd sebagai pemegang lesen aplikasi MySejahtera, di Dewan Negara, Khamis ini.

Khairy berkata beliau telah memohon kepada Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim untuk membenarkan satu usul dibahas pada Khamis ini memandangkan isu melibatkan data peribadi adalah perkara penting.

“Saya akan jawab semua soalan di Dewan Negara, tiada isu bagi saya. Tidak ada apa-apa disembunyikan.

“Mereka yang tidak tahu tentang benda ni mungkin tidak baca sepenuhnya dan terus bangkitkan isu yang sama. Saya faham ini isu penting melibatkan data peribadi dan sebagainya lebih baik saya jawab dalam Dewan Negara,” katanya kepada pemberita di Hospital Port Dickson di sini, semalam.

Khairy sekali lagi mengulangi kenyataannya bahawa pelantikan KPISoft Malaysia Sdn Bhd (syarikat pembangun aplikasi MySejahtera) dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 2020.

Beliau difahamkan beberapa syarikat telah dijemput untuk membuat pembentangan dan MKN memilih syarikat tersebut yang kini dijenamakan sebagai Entomo Malaysia Sdn Bhd (sebelum ini dikenali sebagai KPISoft Malaysia Sdn Bhd).

Katanya Entomo kemudian telah memberi lesen kepada syarikat MySejahtera ataupun MySJ Sdn Bhd.

“Jadi kita berunding dengan syarikat yang sudah beri perkhidmatan sejak awal lagi dan ia masih dalam proses rundingan untuk sambungan, sebab mereka telah bangunkan platform tersebut.

“Soal pelantikan asalnya dibuat oleh MKN, sekarang ini saya dalam proses untuk membawa perkara ini dijadikan sebagai kontrak rasmi, itu yang saya sedang buat,” katanya.

Media hari ini melaporkan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan meminta kerajaan menjelaskan dakwaan penglibatan MySJ Sdn Bhd dalam pengambilalihan aplikasi MySejahtera.

Mohamad berkata walaupun MySejahtera adalah aplikasi yang membantu dan bermanfaat, dakwaan pelantikan entiti persendirian, MySJ sebagai syarikat yang akan menguruskan aplikasi MySejahtera untuk fasa seterusnya adalah sesuatu yang membimbangkan.

Antara perkara dibangkitkan adalah mengenai pelantikan MySJ melalui mekanisme rundingan terus dan bukannya melalui tender terbuka.

Dalam pada itu, Khairy berkata kerajaan masih mengekalkan penggunaan MySejahtera dalam tempoh masa sebulan dua ini.

“Bila keadaan sudah bertambah stabil mungkin waktu itu adalah sesuai untuk kita hentikan penggunaan MySejahtera.

“Macam (Tok Mat) Datuk Seri Mohamad Hasan kata kita dah jadi ‘surveillance state’, itu tidak betul. Kita gunakan dulu MySejahtera bertujuan kesihatan orang awam. KKM tahu bila perlu menghentikan penggunaan aplikasi itu,” katanya.

Dalam lawatannya hari ini, Khairy berkata kos diperlukan bagi menaik taraf Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Port Dickson melibatkan RM23 juta manakala kos untuk blok pakar di hospital berkenaan berjumlah RM160 juta.

Katanya Hospital Jelebu juga perlu dinaik taraf namun belum ada peruntukan setakat ini.

– BERNAMA

 

 

 

 


Pengarang :