Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Keempat Belas Tahun 2022 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 16 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri belanja RM118.25 juta untuk bantuan bah, tiga daerah selesai agih

SHAH ALAM, 16 MAC: Kerajaan Negeri membelanjakan RM118.25 juta untuk Bantuan Selangor Bangkit (BSB) bagi menyantuni keluarga terkesan bah besar pada Disember tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM118.11 juta diperuntuk kepada 118,110 mangsa dengan setiap mereka menerima RM1,000.

Manakala 14 waris korban banjir masing-masing menerima RM10,000 dengan jumlah agihan RM140,000.

“Jumlah ini 10 kali ganda daripada senarai yang kita perolehi daripada mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS). Di PPS, lebih 11,700 kita anggarkan.

“Tetapi apabila bantuan dibuka, kita laksana pembayaran kepada lebih 118,000 keluarga,” katanya menjawab
soalan wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Amirudin memaklumkan tiga daerah selesai mengagihkan bantuan tersebut meliputi Hulu Langat (7,840 mangsa), Hulu Selangor (94) dan Sabak Bernam (40).

Jelasnya, Klang pula mencatat jumlah penerima teramai iaitu 62,342 diikuti 22,288 penduduk Petaling, Kuala Langat (11,570), Sepang (6,901), Kuala Selangor (5,975) dan Gombak (1,060).

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke PPS berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.


Pengarang :