EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni melawat gerai pameran selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 5 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Padanan niaga persidangan halal dijangka catat nilai perolehan RM20 juta

SHAH ALAM, 5 MAC: Padanan perniagaan dalam Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) 2022 dijangka mencatat transaksi bernilai RM20 juta.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata jumlah itu diyakini memberi impak besar terhadap usaha mengembangkan sektor berkenaan di negeri ini.

“Lebih 40 usahawan dipadankan dalam Selhac dan mereka berbincang berkaitan urus niaga yang sudah tentu akan berlaku nilai transaksi.

“Jadi jangkaan (nilai transaksi) di peringkat awal mungkin mencapai antara RM10 hingga RM20 juta atau lebih besar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan itu di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni bercakap kepada media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 5 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Padanan perniagaan antara tiga komponen diketengahkan dalam persidangan julung kali anjuran Kerajaan Selangor dengan kerjasama Halal International Selangor (HIS) dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Selangor.

Program tiga hari bermula semalam hingga esok turut menyediakan forum serta ekspo kepada pengunjung.

Sebanyak 100 pempamer turut serta dalam acara mulai 10 pagi hingga 9.30 malam membabitkan kluster makanan, farmasi, kecantikan, pelancongan, fesyen dan bahan halal.


Pengarang :