AGENDANASIONAL

Paip pecah di Jalan Kuari, 13 kawasan terima bekalan air pagi esok

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Sebanyak 13 kawasan sekitar ibu negara mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan kerja-kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru yang berlaku pada 8.45 malam ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dalam kenyataan memaklumkan kawasan yang terjejas ialah Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Pandan, Kampung Cheras Baru, Taman Mawar, Taman Seraya, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra, Taman Mewah dan Taman Mestika.

Beliau berkata pembaikan paip pecah dijangka siap sepenuhnya pada 8.45 pagi esok dan bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat kepada premis pengguna selepas kerja-kerja itu selesai dilaksanakan.

Katanya bantuan alternatif melalui lori tangki akan digerakkan ke kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

Elina berkata sehubungan itu, pihaknya memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki.

“Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :