Kakitangan perubatan di Unit Kecemasan Hospital Kuala Lumpur mengenakan sut perlindungan diri (PPE) susulan kenaikan kes Covid-19 ketika tinjauan pada 16 Februari 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Pakar perubatan keluarga di Malaysia masih rendah – KP kesihatan

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Jumlah pakar perubatan keluarga (FMS) di negara ini masih rendah berbanding keperluan sebenar iaitu seorang pakar untuk setiap 50,000 populasi berbanding nisbah ideal seorang pakar untuk setiap 4,000 populasi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga Disember 2021, terdapat hanya 924 pakar dalam bidang itu di negara ini, termasuk 625 orang yang sedang berkhidmat di 397 Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Buat masa ini, KKM menyasarkan untuk sekurang-kurangnya satu orang FMS di setiap 1,060 Klinik Kesihatan KKM seluruh negara,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini sempena Majlis Konvokesyen Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia (AFPM).

Dr Noor Hisham berkata latihan kepakaran perubatan keluarga kini ditawarkan di enam buah universiti tempatan bagi Sarjana Perubatan Keluarga dan melalui laluan paralel di bawah program ditawarkan AFPM.

“Semoga fraterniti ini akan terus berkembang maju dan lebih ramai pegawai perubatan memilih kepakaran ini agar tahap kesihatan individu, keluarga dan masyarakat terus ditambah baik dan konsep Satu Keluarga Satu Doktor akan tercapai,” katanya.

Terdahulu, beliau menjunjung kasih atas perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir selaku penaung AFPM berangkat mencemar duli menyempurnakan majlis konvokesyen berkenaan, serta menerima Ijazah Kehormat Felo AFPM.

Pada konvokesyen kali ini, 200 graduan telah dianugerahkan felo, kepakaran, diploma dan sijil termasuk Pengerusi Royal Australian College of General Practitioners Dr Mark Miller dan Timbalan Pengarah (Kesihatan Primer), Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga KKM Dr Mastura Ismail yang dianugerahkan Ijazah Kehormat Felo AFPM.

– BERNAMA


Pengarang :