Penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal ketika tinjauan pada 4 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pakar: Rakyat bersedia ke arah endemik, vaksin mampu kawal wabak

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Pakar kesihatan berpandangan bahawa rakyat Malaysia dilihat sudah bersedia memasuki Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ dengan pendedahan maklumat yang begitu meluas berhubung Covid-19 sejak wabak itu melanda negara hampir dua tahun.

Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik) Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Malina Osman berkata dengan jumlah vaksinasi lengkap dan dos penggalak serta vaksinasi kanak-kanak yang kini giat dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) mampu mengawal wabak apabila memasuki Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ bermula 1 April.

“Saya percaya kerajaan sudah memperkasakan masyarakat dengan pengetahuan tentang wabak Covid-19 ini dan mereka sepatutnya mempunyai kesedaran serta membuat keputusan yang terbaik dalam melindungi diri daripada mendapat jangkitan.

“Mereka sepatutnya menjaga diri sendiri kerana maklumat telah diberikan oleh KKM sejak wabak ini melanda negara,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dr Malina juga menasihatkan masyarakat untuk terus menjaga tatacara operasi piawai (SOP) walaupun beberapa kelonggaran telah diberikan oleh kerajaan.

“Kita harus tahu sebenarnya ada segelintir golongan yang tidak boleh divaksin disebabkan oleh faktor kesihatan dan golongan inilah yang perlu kita lindungi apabila negara beralih ke Fasa ‘Peralihan ke Endemik’.

“Mereka ini adalah golongan rentan, berisiko tinggi serta mempunyai komplikasi serius serta berdepan dengan kematian dan oleh kerana kesan daripada Covid-19 sangat tinggi dalam kalangan mereka, sangat wajar untuk semua rakyat Malaysia mengambil berat kesihatan masing-masing dan mengamalkan cara hidup yang sihat,” katanya.

Seorang kanak-kanak menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (3), Putrajaya pada 16 Februari 2022. Foto BERNAMA

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam Dr Hanafiah Bashirun berkata KKM sudah bersiap siaga dalam berhadapan peralihan fasa itu.

“Kita tidak perlu risau kerana KKM kini sudah mempunyai beberapa perancangan dan pelan yang rapi untuk ke Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ ini berbanding waktu permulaan wabak ini melanda negara.

“Dulu kita tiada rawatan, tak bersedia, ventilator tak banyak dan tiada cara pencegahan yang betul, namun selepas dua tahun lebih banyak uji kaji yang telah dilakukan dan kita dah faham macam mana nak rawat kalau berhadapan dengan situasi yang disebabkan Covid-19 ini.

“Walaupun terdapat kes yang dimasukkan ke ICU (unit rawatan rapi) akibat varian baharu Omicron, kita ada pelan tindakan yang lebih tersusun dan kita mampu untuk mengawalnya,” katanya.

Dr Hanafiah juga menasihatkan mereka yang berada dalam sektor pelancongan untuk lebih berhati-hati dan mengekalkan SOP yang lebih ketat susulan pembukaan sempadan negara pada 1 April ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan negara akan memasuki Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ bermula 1 April ini iaitu fasa peralihan untuk negara kembali kepada kehidupan hampir normal selepas lebih dua tahun berperang dengan Covid-19.

-BERNAMA

 


Pengarang :