Felo Penyelidik Kanan Institut Sains Bumi dan Samudera Universiti Malaya Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah menunjukkan taburan hujan luar biasa di Banjaran Titiwangsa yang bermula 17 Disember kepada wartawan Selangorkini di kampus universiti tersebut di Kuala Lumpur pada 1 Mac 2022 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANRENCANAWAWANCARA

Pakar: Sedia perubahan iklim, Putrajaya harus bantu negeri

SHAH ALAM, 9 MAC: Benarkah banjir teruk di Selangor dan Pahang akibat taburan hujan luar biasa di Banjaran Titiwangsa? Apakah amaran hujan lebat sudah dikeluarkan?

Untuk mengelak banjir besar berulang, apakah tindakan yang harus diambil oleh Putrajaya? Wajarkah kerajaan melabur berbilion-bilion ringgit untuk membina terowong banjir di bawah tanah?

Ada orang mendakwa taufan di Filipina menyebabkan hujan lebat ke Selangor dan negeri Pantai Barat pada Disember lalu. Apakah benar taufan Rai puncanya?

Selain bersetuju dengan langkah Selangor menangani perubahan iklim, Felo Penyelidik Kanan Institut Sains Bumi dan Samudera Universiti Malaya Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah mengulas isu-isu menarik ini kepada wartawan AMIN RIDZUAN ISHAK pada 1 Mac.


Boleh Datuk huraikan sistem tekanan rendah di Banjaran Titiwangsa yang menyebabkan hujan lebat hingga banyak kawasan terjejas teruk dilanda banjir termasuk Selangor?

Dalam membuat ramalan, saya menggunakan pelbagai sumber ada termasuk disediakan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengetahui paras sungai. Saya juga guna sumber luar seperti laman sesawang Earth Nullschool yang mengumpul data daripada Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat dan Sistem Ramalan Sejagat (GFS).

Sumber-sumber ini membantu dalam kami membuat ramalan cuaca dan ia boleh disebarkan kepada umum supaya mereka mengambil langkah sewajarnya sesuai dengan situasi semasa.

Data tekanan rendah ini dikesan di Laut China Selatan pada 15 Disember 2021, dibawa angin dari China dan mula memasuki Semenanjung Malaysia menerusi Banjaran Titiwangsa pada keesokan harinya, seawal jam 10 pagi yang secara perlahan-lahan meliputi kawasan luas.

Tekanan dibawa luruan udara sejuk atau monsun, yang bertembung angin kencang selaju 30 hingga 40 km sejam, turut membawa kelembapan yang boleh menyebabkan taburan hujan tinggi untuk jangka panjang dan inilah yang dibawa ke Banjaran Titiwangsa.

Mulanya kami meramal pergerakannya ke Pantai Timur tetapi memasuki pertengahan Banjaran Titiwangsa (pada 16 Disember) disebabkan angin kencang. Jadi kawasan tanah tinggi itu terima hujan tinggi. Bayangkan dalam tiga jam sahaja, ia merekodkan 22 milimiter (mm) yang kemudiannya meningkat sehingga 110 mm.

Pastinya jumlah air di banjaran juga banyak apabila hujan berlarutan sehingga petang 19 Disember 2021. Apabila tidak dapat ditampung, ia mengalir dengan laju dan memasuki alur-alur sungai termasuk ke Selangor.

Penduduk setempat melakukan kerja-kerja pembersihan sekitar pekan Yan yang terjejas akibat tragedi banjir susulan fenomena kepala air sekitar kawasan Gunung Jerai ketika tinjauan pada 20 Ogos 2021. Foto BERNAMA

Ia juga membentuk fenomena kepala air besar seperti berlaku di Yan, Kedah yang alirannya turut membawa puing banjir seperti selut dan kayu. Ada rakan-rakan saya di Janda Baik, Pahang beritahu kejadian itu berlaku di tempat mereka.

Bestari Jaya (Kuala Selangor) dan Ulu Yam (Hulu Selangor) turut dinaiki air tetapi mungkin tidak terjejas teruk kerana ada kolam takungan Sistem Hibdrid Peningkatan Air Pinggir Sungai (Horas). Begitu juga di Bentong, Pahang. Sebab itu kita tengok keadaan di Telemong cukup teruk apabila kediaman penduduk dipenuhi banjir lumpur serta kayu.

Aliran air dari banjaran sampai ke Hulu Langat mungkin dalam satu jam sahaja, cukup deras dan bawa puing yang menghanyutkan rumah serta kereta penduduk berhampiran sungai.

Cuma saya juga berpendapat dalam tempoh itu, ada juga air dilepaskan dari empangan untuk mengelakkannya pecah dan menyebabkan keadaan lebih buruk berlaku. Sama seperti sekarang apabila banjir melanda Terengganu (hujung Februari), air di empangan Kenyir dilepaskan.


Adakah taufan Rai yang melanda Filipina pada waktu tersebut memberi kesan kepada tekanan rendah di Malaysia?

Sebenarnya ia mematikan luruan monsun apabila kedua-duanya bertembung. Ia menjadi antitaufan. Awalnya memang taufan Rai memberi momentum tambahan tetapi apabila masuk ke dalam, monsun menjadi lemah.

(Arah tiupan) taufan itu berlawan arus dengan Monsun Timur Laut pada 19 Disember. Sebab itu, hujan berhenti pada sebelah petang hari itu.


S: Adakah banjir seperti ini mudah diramal berbanding banjir kilat?

J: Ya, ia memang mudah (diramal) kerana sistem besar ini mempunyai resipi sendiri untuk terjadi. Sekiranya ada luruan udara, monsun dan tekanan rendah, pastinya taburan hujan tinggi. Kita boleh mengesannya menerusi permodelan serta melihat data ramalan.

Banjir kilat pula sukar diramal dan ia hanya berlaku untuk tempoh singkat. Kejadian pada 18 hingga 19 Disember lalu bukan banjir kilat tetapi banjir besar yang kesannya lebih teruk serta memerlukan air surut lebih lama.


Adakah fenomena pengaruh taufan pernah berlaku di Malaysia?

Kejadian ini sama seperti berlaku di Pulau Pinang pada 2017. Bencana itu hampir menjejaskan seluruh negeri itu. Saya kata senarionya sama kerana pusat taburan hujan berada di tempat lain tetapi kesannya teruk dirasai di kawasan lain.

Pada 2017, kajian kami mendapati tekanan rendah yang menjadi punca taburan hujan tinggi berada di Kuala Muda, Kedah tetapi tidak terjejas teruk kerana kawasan itu mempunyai bendang luas. Jadi air dilepaskan ke situ sahaja.

Berbeza dengan Pulau Pinang yang bentuk muka buminya berlembah dan bukan landai. Jadi air naik dengan cepat sehingga menenggelamkan banyak kawasan.

Beberapa kenderaan meredah banjir di Persiaran Jubli Perak, Seksyen 22, Shah Alam pada 18 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI


Bagaimana pula punca banjir di kawasan lain di Selangor seperti Klang dan Shah Alam?

Taburan hujan tinggi dan air pasang besar. Walaupun air pasang besar tidak terlalu tinggi iaitu 4.6 meter tetapi apabila bertembung pula dengan hujan lebat pastinya air dari sungai dan darat tidak boleh mengalir ke laut.

Kalau ikut kajian kami, taburan hujan di Lembah Klang biasanya sekitar 2,000 mm setahun tetapi pada tiga hari bermula 17 Disember, taburan dicatat 300 mm. Boleh bayangkan bagaimana tinggi taburannya.

Sungai yang dalam sekalipun tidak mampu menampung, apatah lagi saliran-saliran kecil. Jadi banyak kawasan, rumah dan premis cepat dinaiki air.


Apakah pandangan Datuk mengenai langkah Kerajaan Selangor ingin mewujud jawatankuasa tetap perubahan iklim (yang dipikul EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian) susulan bencana banjir itu?

Bagus! Maksudnya, sudah ada kesedaran untuk menerima hakikat bahawa perubahan iklim telah menunjukkan bibit-bibitnya sekarang, bukan lagi dijangka 20 tahun akan datang.

Mulai dari sekarang, (kerajaan) harus buat perancangan apa perubahan boleh dilakukan, sektor mana perlu dilihat dan lokasi berpenduduk ramai yang berisiko terjejas. Boleh buat perancangan teliti untuk menghindar masalah pada masa depan.

Masalah bencana ini kita tidak boleh hindar kerana ia berlaku tanpa dirancang. Kita seharusnya merancang untuk berdepan dengan bencana. Lihat senario buruk yang boleh berlaku dan lihat juga aset yang perlu diselamatkan untuk elak kerugian lebih besar.


Bagaimana pula dari segi keanggotaan jawatankuasa?

Saya lebih senang kalau jawatankuasa itu menasihati golongan profesional berbanding ahli politik atau pegawai tadbir dan diplomatik (PTD). Maaf kata kerana PTD ini lebih berfungsi sebagai pengurus besar dan tidak mengetahui sepenuhnya. Contohnya apabila bercakap berkenaan banjir, ada yang tidak faham.

Bagi saya, perlu ada pakar. Kita ramai pegawai dalam JPS dan ahli akademik yang membuat kajian. Kita tidak buat keputusan yang mungkin disukai orang tetapi kita beri senario sebenarnya dengan telus.


Apakah bentuk pembangunan yang sesuai untuk negara pada masa depan bagi mengelak kerugian akibat bencana?

Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC), bawah Perubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ada meramalkan kebarangkalian cuaca ekstrem akan meningkat susulan pemanasan global pada masa ini. Kita lihat seluruh dunia terkesan.

Atas sebab itu, kerajaan dari sekarang harus bersedia menghadapi kemungkinan sekiranya bencana alam seperti banjir bakal berulang pada masa depan. Kalau hendak buat projek mitigasi banjir, adakah kita hendak bina satu lagi Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Smart)? Gabung dengan Horas? Atau buat kolam takungan seperti Taman Wetland Putrajaya?

Kolam takungan Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai 600 (Horas 600).

Pada 1971, Kuala Lumpur banjir besar yang menyebabkan kerugian. Masalah di Kuala Lumpur, mereka tiada bendang seperti Kedah untuk salurkan air bagi mengurangkan kesan. Jadi kerajaan rancang projek mitigasi babit pembinaan terowong Smart yang menelan berbilion ringgit (dibina mulai awal 2000-an).

Tetapi perbelanjaan itu perlu untuk melindungi aset dan ekonomi, jadi kerajaan harus melabur.

Dalam situasi di Selangor, saya minta kerajaan pusat melihat keperluan negeri itu kerana Selangor penyumbang utama ekonomi negara. Pelabuhan Klang yang terjejas akibat banjir tempoh hari penting kepada Malaysia untuk menarik pelabur.

Aset dan rakyat di Selangor perlu dijaga kerana sekali lagi bencana sebesar itu berlaku, kerugiannya pasti besar memandangkan kepadatan penduduk. Ruginya bukan sedikit tetapi beratus-ratus juta ringgit dan ribuan kereta ditenggelami air.


Ada dakwaan mengatakan sistem amaran di Malaysia lambat untuk disebar kepada orang ramai, apa komen Datuk?

MetMalaysia dan JPS mempunyai sistem amaran masing-masing kerana memantau aspek berasingan. Lazimnya kalau banjir di daerah, maka pegawai daerah harus menjadi ketua. Manakala di peringkat negeri pula, menteri besar atau ketua menteri dan perdana menteri pula bertanggungjawab di peringkat kebangsaan.

Pada kejadian (hujan dan banjir) 17 hingga 19 Disember 2021, bukan sahaja Selangor terjejas tetapi beberapa negeri antaranya Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan. Jadi perkara ini bawah (tanggungjawab) kebangsaan. Masalahnya, pada tiga tarikh itu kawasan terjejas banyak di Pantai Barat, bukan Pantai Timur yang persediaan rapi sudah dilakukan.

Contohnya di Johor dahulu apabila banjir besar berlaku (hujung 2006 dan awal 2017), kajian kita dapati mereka tidak mampu mengendali pengurusan banjir kerana telah lama (Johor) tidak berdepan situasi itu. Jadi kurang kekerapan (banjir) itu menyumbang kepada ketidaksediaan.

Satu lagi kepadatan penduduk. Kita di Lembah Klang ada tujuh juta orang. Bukan mudah hendak menyelaraskan pengurusan sehingga menjadi cacamarba. Tuding-menuding dan salah-menyalah tidak seharusnya berlaku, sebaliknya cari cara selesai masalah.

Harus ambil iktibar banjir besar di Kuala Lumpur pada 1971. Mereka ambil langkah buat projek mitigasi banjir. Selangor juga harus ada kerana status sebagai penjana ekonomi negara.

Di Malaysia, kita tidak buat seperti di luar negara. Contohnya di Thailand, pihak berkuasa akan memastikan Bangkok tidak akan terjejas akibat banjir dengan melepaskan air ke kawasan pedalaman. Mereka akan pertahankan dan tidak mahu Bangkok tenggelam kerana ia pusat ekonomi.

Kena manfaatkan juga kolam dan tasik tinggalan perlombongan timah yang boleh menjadi takungan untuk melepaskan air dengan segera.


Adakah sebarang teknologi yang boleh diguna untuk memperbaik sistem ramalan cuaca dan amaran?

Sebenarnya selepas banjir besar 2014 (di Pantai Timur), kerajaan memang melaksanakan pelbagai langkah dengan memberi geran kepada universiti untuk buat kajian dan dana RM60 juta untuk tingkat sistem ramalan cuaca.

Komputer yang canggih ada di MetMalaysia. JPS juga giat pertingkat keselamatan sungai, simulasi dan permodelan.

Cuma saya rasa masalah sekarang adalah ketiadaan pengurusan memori (kemahiran pegawai) kerana struktur jabatan kita. Orang yang ada pengalaman dan kepakaran akan dipindahkan untuk kenaikan pangkat.

Contohnya, seorang pegawai berpengetahuan menguruskan banjir dan pernah dihantar kursus ke luar negara. Tetapi apabila naik pangkat, pegawai terbabit buat kerja lain pula. Kita di sini naik pangkat untuk jadi pentadbir, bukan profesional.

Jadi kepakaran itu hilang. Kelemahan ini kami kesan ketika mengkaji masalah pengurusan banjir pada 2014. Apabila kami tanya siapa pegawai yang mahir menguruskan banjir? Ada pegawai kata, dialah orangnya tetapi sudah naik pangkat menjadi timbalan pengarah.


Pengarang :