DAMANSARA, 25 MAC: Pasar PJKita@Sri Damansara di Bandar Sri Damansara di sini yang beroperasi mulai minggu ini menyediakan pelbagai kemudahan kepada ribuan penduduk sekitarnya.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasar awam itu menjual barangan basah dan kering selain medan selera yang dilengkapi aspek keselamatan yang baik.
“Binaan bangunan ini lebih moden, memiliki sistem pengudaraan yang baik, tempat simpanan yang bersesuaian, selain pengasingan barangan halal dan tidak halal serta menyediakan beberapa akses keluar masuk, yang penting dalam penjagaan kesihatan awam.
“Walaupun didirikan dalam kawasan industri, pasar kesembilan di Petaling Jaya ini akan meringankan beban penduduk sekitar Sri Damansara, Damansara Perdana, Damansara Damai dan Kota Damansara untuk mencari keperluan harian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pasar terbabit.

Justeru, Amirudin berkata konsep pasar berkenaan akan diperluas mengikut keperluan penduduk di kawasan berkenaan.
“Beberapa bulan lalu saya sudah merasmikan pasar awam di Seri Muda, Shah Alam dan pusat penjaja di Sabak Bernam. Ini adalah sebahagian projek yang direncana Kerajaan Selangor.
“Bagaimanapun perancangan pembangunan seperti ini memerlukan masa kerana ia membabitkan pengambilan tanah,” katanya.
Dalam majlis berkenaan beliau turut meninjau persekitaran pasar selain beramah mesra dengan peniaga.