Memorandum Persefahaman berhubung pengambilan pekerja domestik Indonesia ditandatangani Jumaat ini. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PDI: Malaysia, Indonesia tandatangani MoU Jumaat ini

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Malaysia dan Indonesia akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung penggajian dan perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) pada Jumaat ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata MoU berkenaan akan ditandatanganinya bersama rakan sejawat Menteri Ketenagakerjaan Indonesia Ida Fauziyah pada majlis yang diadakan di Jakarta, Indonesia.

Beliau berkata majlis menandatangani MoU PDI itu turut akan disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia Joko Widodo.

“Ia mencerminkan komitmen dan kesepakatan kedua-dua negara dalam melaksanakan MoU ini kelak.

“MoU PDI ini akan merintis kepada kemasukan pekerja warga asing dari Indonesia ke sektor yang dibenar penggajian Tenaga Kerja Indonesia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Saravanan berkata MoU PDI ditandatangani kali pertama pada 2006 dan tamat tempoh pada 2011 sebelum diperbaharui sehingga 2016.

“Namun selepas tempoh tersebut, MoU PDI ini tidak dapat diperbaharui berikutan ketiadaan kata sepakat antara kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata sehingga Februari lepas, jumlah pekerja warga Indonesia yang berada dalam negara adalah seramai 352,469 orang dengan 98,421 individu terlibat dalam sektor perladangan diikuti perkilangan (67,217), pembinaan (65,660), pekhidmat domestik (58,438), pertanian (43,953) dan perkhidmatan (18,779).

Pada 15 Mac lepas, Saravanan dilapor berkata majlis menandatangani MoU PDI yang dijadual berlangsung pada 18 Mac lepas ditunda pada 1 April bagi membolehkan kedua-dua pemimpin negara hadir menyaksikan MoU itu.

– BERNAMA


Pengarang :