GOMBAK, 30 MAC: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) membelanjakan RM95,000 bagi membantu pesakit kronik membeli ubat menerusi program Ziarah Medik.
Yang Dipertuanya berkata sebanyak 38 Dewan Undangan Negeri (DUN) terlibat dalam program itu dengan keutamaan diberikan kepada ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU) dari keluarga kurang berkemampuan (B40).
“Setiap penerima sumbangan akan menerima RM250 dan program ini telah pun berlangsung selama tiga bulan.

“Kita juga akan membantu golongan ini dari sudut lain seperti jika belum menerima zakat atau baitulmal, kita akan bantu mereka dapat,” kata Datin Seri Masdiana Muhammad kepada SelangorKini.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan berkenaan kepada 10 penerima di sekitar DUN Sungai Tua di sini, hari ini.
Masdiana berharap sumbangan itu sedikit sebanyak membantu pesakit untuk membeli ubatan dan barangan keperluan asas.
Tahun lalu, Pekawanis memperuntukan RM100,000 bagi membantu pesakit kronik menerusi program berkenaan.