Selangorkini
Yang dipertua Pekawanis, Datin Seri Masdiana Muhamad (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Norita Mohd Sidek (empat, kanan) bergambar bersama anak- anak barisan hadapan ketika majlis apresiasi Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan di kediaman rasmi Menteri Besar, Shah Alam pada 23 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA SELANGOR

Pekawanis: Inisiatif bantu petugas barisan hadapan bukti perpaduan rakyat Selangor

SHAH ALAM, 23 MAC: Inisiatif Cakna Anak Petugas Barisan Hadapan yang diwujudkan Kerajaan Negeri berjaya menyuntik perpaduan dalam kalangan rakyat Selangor yang kini berdepan keadaan sukar.

Yang dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) berkata inisiatif menerapkan elemen kemanusiaan dan kemasyarakatan itu bertujuan membentuk masyarakat yang sentiasa prihatin kepada isu serta cabaran yang dihadapi ketika ini.

Pada masa sama, menurut Datin Seri Masdiana Muhamad, Pekawanis turut turun padang memberikan bantuan alat tulis dan peralatan kepada kesemua taska terbabit supaya dapat meringankan beban khususnya kos operasi yang semakin meningkat.

“Sumbangan barang permainan kanak-kanak yang diserahkan oleh Pekawanis sebenarnya adalah hasil derma orang ramai melalui Toys Donation Drive yang telah diadakan.

“Kemuliaan hati rakyat Selangor tidak boleh diukur hanya dengan sumbangan yang diterima oleh pihak kami semata-mata. Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor turut menjayakan dengan menyumbang bahan bacaan ke taska terlibat.

“Malah, Yayasan Emkay turut menyumbangkan bahan-bahan aktiviti perkembangan kanak-kanak, sementara Pertubuhan Salwa Malaysia pula menyumbang makanan dan roti,” katanya ditemui pada majlis apresiasi Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar hari ini.

Pada 25 Januari tahun lalu, Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif mewujudkan khidmat pusat jagaan sementara kepada petugas barisan hadapan secara percuma.

Ia membabitkan pembukaan dan operasi taska serta pusat jagaan di hospital awam juga premis sementara yang bakal memanfaatkan hampir 400 keluarga petugas hadapan seluruh Selangor.


Pengarang :