Pelawak dan pelakon Amran Tompel meninggal dunia di kediamannya di Taman Matahari Height Senawang, Negeri Sembilan pada 26 Mac 2022. Foto Facebook Persatuan Seniman Malaysia
AGENDANASIONAL

Pelakon Amran Tompel meninggal dunia

SHAH ALAM, 26 MAC: Pelawak dan pelakon Amran Aman Ramli atau lebih dikenali Amran Tompel, 72, meninggal dunia pada jam 4.37 petang tadi.

Berita duka itu dikongsikan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menerusi Facebook yang memaklumkan Allahyarham meningganl dunia akibat barah usus di kediamannya Taman Matahari Height Senawang, Negeri Sembilan.

“Seniman menyifatkan beliau sebagai seorang yang berbakat besar dan seorang pelawak serta pelakon yang tiada tandingannya.

“Jenazah beliau kini berada dirumahnya di Senawang Negeri Sembilan dan telahpun dibawa ke Hospital untuk tindakan lanjut,” katanya.

Seniman turut menitipkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian pelakon berkenaan.

Allahyarham dilahirkan pada 27 Oktober 1950 di Singapura. Beliau meninggal dunia akibat kanser usus yang dihidapi sejak sekian lama. Allahyarham meninggalkan empat orang anak.

Pada tahun 1987 Amran tampil dengan filem pertama iaitu Keluarga 69 sebagai watak Joe.

Pelakon yang cukup disegani ini juga membintangi beberapa buah drama dan filem antaranya Buai Laju-laju, Tak Ori Tapi Ok, Salah Bapak, Bilut, Baik Giler, Lu, Gua, Bro, Gerak Khas dan banyak lagi.

 


Pengarang :