Barisan pelakon Kembara Seniman Jalanan berkumpul semula dalam Program Wayang Pacak Kembara Seniman Jalanan di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur pada 13 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pelakon Kembara Seniman Jalanan bersatu atas pentas selepas 36 tahun

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Pertemuan kembali pelakon filem nostalgia Kembara Seniman Jalanan (KSJ) yang diterbitkan 36 tahun lalu menjadi momen mengujakan malam tadi.

Datuk M Nasir, Datuk Ramli Sarip, Amy Search, Imuda, Pyan Habib, Ito Blues Gang dan Dr Sam digabungkan bersama atas pentas dalam Karnival KL Dulu anjuran platform dalam talian, Siar.

Berlangsung kira-kira sejam, mereka yang kini menempa nama sendiri dalam industri hiburan tanah air mengimbas kenangan semasa berlakon bawah arahan Nasir Jani.

Lagenda rock tanah air Amy Search berkata dia masih hijau dalam industri ketika pembikinan filem terbabit dan boleh dianggap penyanyi ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU).

“Tidak pernah terfikir untuk jumpa kembali selepas 36 tahun berlakon sama. Ini sangat nostalgia. Filem berkisar kempen cetak rompak ini akan dikenang sampai bila-bila,” katanya.

Datuk M Nasir (tengah) berkongsi pengalaman berlakon bersama Imuda, Datuk Ramli Sarip, Ito dan Amy dalam filem Kembara Seniman Jalanan di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur pada 13 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

M Nasir yang merupakan penulis skrip filem itu pula menjelaskan minat mendalam terhadap penerbitan filem menyebabkan dia bersungguh-sungguh menghasilkan KSJ.

“Mula nak buat cerita mudah sahaja tapi bila jumpa Nasir (pengarah) dan pelakon lain terus jadi besar. Filem ini tunjukkan keberanian kita bereksperimen dengan teknik rakaman baharu,” katanya yang memegang watak utama sebagai Bujang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Siar Ali Agung berkata pihaknya turut menayangkan filem itu secara wayang pacak kepada penonton menggunakan format video berdefinisi tinggi (HD).

“Alhamdulillah sambutan menggalakkan dengan kehadiran ramai selain cuaca baik. Sepanjang karnival bermula mulai Sabtu, kita turut tayang filem Leftenan Adnan dan Mat Gelap,” katanya.

Kembara Seniman Jalanan ialah sebuah filem drama muzikal yang ditayangkan pada 22 Februari 1986.


Pengarang :