Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) berkenan berangkat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-258 di Istana Negara pada 9 Mac 2022. Mesyuarat tersebut dipengerusikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin. Foto BERNAMA
AGENDANASIONALSELANGOR

Pemilihan Sultan Selangor selaras perakuan jawatankuasa tertinggi Islam

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Pemilihan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) untuk tempoh dua tahun pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-258 adalah selaras dengan perakuan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan yang dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Majlis Raja-raja.

Menurut satu kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad hari ini, Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid sebelum ini berpandangan bahawa oleh kerana Islam terletak di bawah bidang kuasa dan budi bicara Raja-raja Pemerintah adalah lebih bertepatan untuk MKI dipengerusikan oleh seorang Raja Pemerintah.

“Perakuan Jawatankuasa (itu) telah dirunding oleh Duli Yang Maha Mulia Raja-raja dengan pihak kerajaan dan telah mencapai persefahaman dan kata sepakat.

“Susulan daripada perkembangan tersebut, Majlis Raja-Raja Kali Ke-258 telah berkenan memilih Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia untuk tempoh dua tahun,” menurut kenyataan itu.

Menurut Syed Danial kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan laporan sebuah akhbar tempatan pada 10 Mac lepas yang melaporkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini diletakkan di bawah bidang kuasa Majlis Raja-Raja kerana laporan itu dianggap boleh mengelirukan.

Syed Danial berkata pelantikan Pengerusi MKI sejak penubuhannya oleh Majlis Raja-Raja sendiri pada 1968 sememangnya telah dibuat oleh Majlis Raja-Raja dan Perdana Menteri bermula dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj telah diperkenankan sebagai Pengerusi MKI.

Bagaimanapun Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-258, telah membuat ketetapan bahawa salah seorang daripada Raja Pemerintah wajar memenuhi peranan dan tanggungjawab Pengerusi selama dua tahun secara bergilir-gilir sementara Perdana Menteri dilantik sebagai Timbalan Pengerusi selaras dengan perakuan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan itu.

– BERNAMA


Pengarang :