Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tiga, kanan) dan Pengarah Komunikasi KEADILAN Fahmi Fadzil (empat, kanan) menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Cabang KEADILAN Lembah Pantai di VE Hotel & Residence, Kuala Lumpur pada 27 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pemimpin HARAPAN, kerajaan bertemu bincang akta antilompat parti

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) dijadualkan bertemu pada Khamis ini (31 Mac) bagi memperhalusi dan mengemas kini beberapa perkara, berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti sebelum ia dibentangkan pada sidang khas Parlimen, 11 April depan.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pertemuan itu akan melibatkan Jawatankuasa Pemandu Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, yang dianggotai 10 wakil daripada kerajaan dan pembangkang.

Menurutnya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menyatakan komitmen kerajaan dalam membentangkan rang undang-undang tersebut, selain meminta pandangan daripada blok pembangkang bagi memperhalusinya sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Hanya perlu lakukan fine-tuning atau kemas kini terhadap beberapa perkara atau klausa dalam rang undang-undang itu.

“Perdana Menteri meminta pandangan daripada kami (pembangkang) dan kita kata, aktifkan semula Jawatankuasa Pemandu selain kita bersetuju pada 31 Mac ini untuk mengadakan pertemuan untuk perhalusi perkara-perkara itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKR Lembah Pantai di Kerinchi di sini hari ini.

Pada hari terakhir Persidangan Dewan Rakyat pada 24 Mac lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu dewan, pembentangan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti akan diadakan dalam sidang khas Parlimen pada 11 April.

Wan Junaidi berkata perkara itu dipersetujui Perdana Menteri, malah Perdana Menteri juga bersetuju untuk melanjutkan persidangan khas itu sekiranya tempoh masa satu hari bagi membincangkan rang undang-undang berkenaan, tidak mencukupi.

— BERNAMA


Pengarang :