AGENDAJENAYAH

Pemuda rugi lebih RM200,000 terpedaya tawaran ‘Datuk Seri’

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Seorang lelaki mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM294,850 selepas ditipu sindiket tawaran Darjah Kebesaran membawa gelaran ‘Datuk Seri’ pada Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata mangsa yang juga seorang pengedar kit perubatan farmasi berusia 33 tahun, sebelum itu ditawarkan darjah berkenaan pada 1 Dis tahun lepas oleh seorang suspek lelaki tempatan.

Bagaimanapun, beliau berkata suspek menetapkan syarat bahawa mangsa perlu mendermakan wang sebanyak RM300,000 kepada pihak istana bagi mendapatkan darjah kebesaran tersebut.

“Sejak 14 hingga 31 Jan lepas, mangsa telah membuat bayaran tunai RM200,000 serta pindahan wang sebanyak RM94,850 ke dalam akaun suspek.

“Selepas membuat bayaran, mangsa diberikan dokumen Watikah Penganugerahan Darjah Kebesaran, dua keping kad Ahli Setia Diraja dan dua unit logo/emblem kereta Darjah Kebesaran milik sebuah negeri,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Mahidisham berkata rakan mangsa yang juga seorang Datuk Seri memaklumkan bahawa pelantikan berkenaan adalah meragukan.

Susulan itu, beliau berkata polis menahan dua suspek wanita dan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 29 hingga 39 tahun pada 10 hingga 14 Mac lepas.

“Kesemua suspek ditahan beserta rampasan dokumen Pengurniaan Darjah Kebesaran dan seorang daripada suspek mengaku bergelar ‘Datuk Seri’. Bagaimanapun, semakan polis dengan Bahagian Istiadat dan Pengurusan Majlis Rasmi mengesahkan (suspek) tiada dalam senarai rekod,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, Seksyen 15(1)(b) Akta Kesalahan yang berhubung dengan Anugerah 2017 kerana meminta, menerima memberi dan sebagainya, suapan bagi anugerah.

Beliau berkata untuk mengelakkan menjadi mangsa penipuan tawaran Darjah Kebesaran, polis menasihatkan orang ramai membuat semakan penerima Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat secara dalam talian melalui istiadat.gov.my.

Selain itu, jangan mudah percaya berdasarkan pengakuan lisan gelaran Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat sebaliknya semak Watikah Pelantikan, katanya.

Mohd Mahidisham berkata sebarang jenayah atau kegiatan yang mencurigakan, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana balai polis berhampiran.

– BERNAMA


Pengarang :