Mangsa banjir menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Klang pada 23 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Penerima bantuan bah terlepas tarikh serahan tidak perlu hadir ke pejabat daerah

SHAH ALAM, 1 MAC: Penerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) daerah Klang yang terlepas tarikh serahan tidak perlu hadir ke pejabat daerah untuk semakan dan pemberitahuan.

Pejabat Daerah/Tanah Klang memaklumkan pemohon akan menerima pesanan ringkas (SMS) baharu dengan maklumat tarikh, masa dan tempat.

“Penerima juga boleh buat semakan di portal dari semasa ke semasa sebagai alternatif,” katanya menerusi Facebook.

Semalam, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 114,081 keluarga terjejas banjir Disember tahun lalu menerima BSB berjumlah RM1,000.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan daripada Kerajaan Negeri itu membabitkan peruntukan RM114.211 juta termasuk agihan RM130,000 kepada 13 waris korban.

Berdasarkan perkongsian infografik di Facebook, daerah Klang adalah lokasi penerima sumbangan paling ramai iaitu 60,427 isi rumah diikuti 20,948 penduduk Petaling dan 10,904 di Kuala Langat.

Turut menerima sumbangan sama 7,834 keluarga di Hulu Langat diikuti Sepang (6,878), Kuala Selangor (5,915), Gombak (1,041), Hulu Selangor (94) dan Sabak Bernam (40).

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.


Pengarang :