Pendaftaran ahli baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja meningkat sebanyak 57 peratus kepada 146,000 orang pada suku pertama 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Pengeluaran khas KWSP RM101 bilion manfaatkan 7.34 juta ahli

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Kementerian Kewangan hari ini berkata tiga pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra telah memanfaatkan 7.34 juta ahli atau 58 peratus daripada 12.6 juta ahli berumur di bawah 55 tahun.

Kementerian berkenaan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini berkata jumlah itu melibatkan amaun pengeluaran bernilai RM101 bilion dan bayaran bagi pengeluaran i-Citra berakhir pada Februari 2022.

Namun begitu, Kementerian Kewangan berkata implikasi pengeluaran khas khususnya daripada Akaun 1 telah memberikan kesan jangka panjang iaitu pengurangan jumlah simpanan persaraan yang ketara kepada ahli terlibat.

“Daripada keseluruhan ahli KWSP di bawah umur 55 tahun, setakat 31 Disember 2021, seramai 6.1 juta ahli atau 48 peratus hanya mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP setelah majoriti ahli mengeluarkan simpanan melalui i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

“Amaun RM10,000 menunjukkan ahli dijangka hanya mempunyai pendapatan persaraan yang kurang daripada RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun,” kata kementerian itu.

Selain itu, pengeluaran khas tersebut juga telah menyebabkan penurunan ketara dalam peratusan ahli yang mencapai Simpanan Asas (RM240,000 pada 55 tahun) daripada 36 peratus pada 2020 kepada 30 peratus pada akhir 2021.

Keadaan ini secara langsung menunjukkan bahawa 70 peratus atau lebih dua pertiga daripada ahli berumur 55 tahun dan ke bawah berada dalam situasi yang serius di mana jumlah dana mereka tidak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan.

“KWSP menganggarkan ahli perlu bekerja antara 4-6 tahun tambahan untuk membina semula simpanan yang telah dikeluarkan semasa pandemik.

“Sehubungan itu, sebarang pengeluaran tambahan i-Citra atau pengeluaran khas baharu akan menjejaskan lagi isu ketidakcukupan simpanan persaraan yang kini telah pun berada pada tahap yang amat membimbangkan,” kata Kementerian Kewangan.

Berdasarkan statistik KWSP, jumlah caruman bagi tahun 2021 menunjukkan peningkatan sebanyak 2.6 peratus iaitu sebanyak RM71.8 bilion berbanding RM70 bilion pada 2020.

Data tersebut secara tidak langsung menunjukkan bahawa dengan pembukaan semula ekonomi di mana perniagaan boleh beroperasi sepenuhnya membolehkan pekerja kembali bekerja dan memperoleh pendapatan bagi menampung kehidupan.

Lanjutan itu, kementerian tersebut berkata pelbagai pihak seperti kesatuan pekerja telah menyatakan pendirian bahawa sebarang pengeluaran tambahan akan menjejaskan kecukupan simpanan hari tua ahli, menambah beban kewangan kerajaan pada masa hadapan dan bercanggah dengan objektif penubuhan KWSP.

– BERNAMA


Pengarang :