(Hiasan) Seorang lelaki yang terpotong kepala alat kemaluan ketika berkhatan 12 tahun lalu memperoleh ganti rugi berjumlah RM3.1 juta selepas Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan samannya terhadap kerajaan Malaysia dan empat lagi. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDAJENAYAH

Pengubahan wang haram: Pegawai kanan polis dijel 10 tahun, denda RM42 juta

PUTRAJAYA, 22 MAC: Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM42 juta ke atas seorang pegawai kanan polis atas lapan kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM3.35 juta.

Tiga hakim Mahkamah Rayuan Datuk Has Zanah Mehat, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah yang bersidang hari ini, membenarkan rayuan pihak pendakwaan bagi meningkatkan lagi hukuman penjara yang sebelum ini telah dijatuhkan terhadap DSP Mohd Ismail Syed Merah.

Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 2020, menjatuhkan hukuman penjara empat tahun kepada Mohd Ismail, 59.

Mahkamah juga membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengenakan denda berjumlah RM42 juta ke atas Mohd Ismail dan jika gagal dibayar, dipenjara 48 bulan.

Sementara itu mahkamah juga menolak rayuan Mohd Ismail untuk mengugurkan pensabitan kesalahan dan hukuman penjara yang telah dikenakan ke atasnya.

Dalam keputusan sebulat suara itu, Hakim Nordin berkata mahkamah mengenakan hukuman tambahan terhadap Mohd Ismail itu bagi mencerminkan betapa seriusnya kesalahan beliau itu.

Beliau berkata Hakim Mahkamah Tinggi adalah betul dalam mendapati bahawa wang yang dirampas daripada rumah Mohd Ismail, diperoleh daripada aktiviti haram.

Tambah beliau, Mohd Ismail sebagai seorang pegawai polis yang diamanahkan untuk menegakkan undang-undang telah mengkhianati amanah itu dan melindungi operator judi haram.

Hakim Nordin berkata adalah munasabah untuk membuat kesimpulan bahawa wang RM1.2 juta dan 8,178,000 rupiah yang ditemui dalam beberapa kotak di rumah Mohd Ismail adalah wang, antara lain daripada dua operator aktiviti perniagaan judi haram untuk beliau (Mohd Ismail) tidak mengambil sebarang tindakan ke atas aktiviti judi haram itu.

“Gajinya sebagai seorang pegawai polis hanyalah RM6,000 sebulan dan dibayar ke dalam akaunnya dan bagaimana beliau boleh menyimpan sejumlah wang yang banyak itu,” katanya.

Mohd Ismail didakwa dengan lima pertuduhan pertama iaitu menggunakan wang yang hasil aktiviti haram, masing-masing melibatkan RM10,143.37; RM40,000; RM6,283.09; RM993,716.91 dan RM500,000, untuk membeli dan menambah pelaburan dalam Pelan Perlindungan Insurans Takaful Life dan Pelan TakafulLink yang didaftarkan di atas namanya serta anak kandung, Nur Aqillah Mohd Ismail.

Dua pertuduhan lain pula berkaitan melakukan pengubahan wang haram RM499,620 dan RM29,950 menggunakan akaun pihak ketiga milik Tan Kim Tee.

Mohd Ismail didakwa melakukan kesalahan itu antara 4 Sept 2014 hingga 28 Dis 2015 di tiga lokasi berlainan iaitu di bangunan MAA Takaful, Jalan Tun Razak di sini serta dua bank, masing-masing RHB dan CIMB di Jalan Rahmat dekat Batu Pahat.

Beliau dituduh dengan lapan pertuduhan memiliki RM1.27 juta dan 8,178,000 rupiah di rumahnya yang diperolehi menerusi aktiviti haram.

Pada 2019, Mahkamah Sesyen Johor Bahru melepas dan membebaskan Ismail daripada semua pertuduhan berkenaan. Bagaimanapun pada 2020 Mahkamah Tinggi mendapati beliau bersalah atas semua kesalahan dan menjatuhkan hukuman penjara empat tahun untuk setiap kesalahan dan dikenakan secara serentak.

Ismail akan memulakan hukuman penjara dua tahunnya untuk pertuduhan ketiga dan keempat selepas beliau melengkapkan hukuman penjara selama setahun, untuk pertuduhan pertama dan keduanya.

Bagi pertuduhan kelimanya Mohd Ismail dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan dua tahun lagi untuk pertuduhan keenam. Beliau dikenakan hukuman penjara setahun untuk pertuduhan ketujuh dan dua tahun unuk pertuduhan kelapan.

Kesemua hukuman untuk pertuduhan itu dikenakan secara berturut-turut dan bermula selepas Mohd Ismail melengkapkan hukuman penjara untuk pertuduhan ketiga dan keempat.

Mahkamah mengenakan Mohd Ismail denda RM5 juta atau penjara enam bulan untuk setiap satu daripada tujuh pertuduhan dan denda RM7 juta atau penjara enam bulan untuk pertuduhan kelapan.

Mohd Ismail diwakili pasukan peguam diketuai Datuk Wan Azmir Wan Majid, manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dan Mohd Fairuz Johari.

– BERNAMA


Pengarang :