Kakitangan Pertubuhan Peladang Sungai Besar mengangkat guni bantuan benih padi sah MR219 yang disumbangkan Kerajaan Negeri untuk diagihkan kepada petani di Parit 11 Timur, Sabak Bernam pada 9 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pergiat usaha bantu warga tani, jamin bekalan makanan selamat

SHAH ALAM, 14 MAC: Kerajaan Negeri diseru mempergiatkan semula pelbagai program untuk mengurangkan keperitan dan kesusahan yang ditanggung warga tani susulan pandemik Covid-19.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bertitah langkah itu bagi memastikan bekalan makanan berada pada tahap yang selamat selain sumber ekonomi golongan itu dipertingkat.

“Berikutan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sejak 2020 telah memberi kesan yang amat perit kepada negara khususnya di Selangor.

“Sektor pertanian juga tidak terlepas yang mengakibatkan projek pertanian khususnya makanan menjadi perlahan dan memberikan kesan kepada bekalan makanan,” titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 di sini hari ini.

Sultan Selangor bertitah Kerajaan Negeri juga memperuntuk RM67 juta untuk pembangunan sektor tanaman makanan bagi tempoh lima tahun mulai 2021.

Sementara tahun ini, Program Jaminan Bekalan Makanan – Pembangunan Agropreneur Smart Selangor Agro Park (SSAP) dilaksana bagi mewujudkan peluang ekonomi khususnya dalam kalangan belia.

“Daerah terlibat ialah Sabak Bernam, Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Gombak dan Hulu Selangor untuk meningkatkan bekalan makanan dan sumber ekonomi khususnya kepada golongan muda,” titah Baginda.

 

 

 


Pengarang :