Sebahagian produk kraf yang dijual di Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada 23 Februari hingga 7 Mac 2022. Foto Facebook Kompleks Kraf Kuala Lumpur
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Perkasa kraf melalui platform dalam talian, bantu OKU jana pendapatan

Oleh Balkish Awang

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Kedua-dua kakinya lumpuh kerana dijangkiti polio sejak berusia sembilan tahun, namun kecacatan ini tidak menghalang Eng Kim Loong, 65, untuk berdikari, mencari rezeki dengan menghasilkan kraf tangan menggunakan rotan.

Duduk di lantai sambil kedua tangannya begitu cekap menganyam bilah buluh untuk dijadikan bakul, penulis begitu kagum dengan ketekunan beliau yang sudah 30 tahun menceburi bidang kraftangan rotan.

Bakul dan set buaian rotan adalah dua barangan yang beliau hasilkan dan setakat ini, menurut Kim Loong, beliau hanya menjalankan perniagaan itu di rumah berdasarkan tempahan pelanggan.

“Pelanggan biasanya akan menelefon atau datang ke rumah untuk membuat tempahan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini sewaktu pameran Hari Kraf Kebangsaan 2022 (HKK 2022), di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, di sini.

Setiap tahun pengusaha kraf tangan warga emas ini akan mengambil bahagian dalam pameran Hari Kraf Kebangsaan bawah penyertaan Persatuan Orang Cacat Cina Malaysia yang diadakan di Kuala Lumpur sahaja.

Beliau yang menetap di Wangsa Maju, Kuala Lumpur tidak megikuti sebarang latihan khusus dalam bidang anyaman rotan, setakat memerhatikan orang lain melakukannya di samping pernah bekerja dengan orang yang menghasilkan kraf anyaman.

Menurut Kim Loong, proses menganyam sebuah bakul lazimnya mengambil masa lebih kurang dua jam manakala bagi set buaian bayi menggunakan rotan sepenuhnya memakan masa selama dua hari, bergantung kepada saiz dan bentuk yang ingin dihasilkan.

Apabila ditanya mengenai pendapatan bulanan daripada jualan hasil kraftangannya, bapa kepada dua orang cahaya mata itu hanya menunduk sayu sambil memberitahu penulis ianya tidak tetap kerana bergantung kepada tempahan pelanggan.

“Tidak tentu, ada kala RM700 sebulan. Saya tak ada kedai, buat kerja di rumah, bila orang datang atau telefon untuk tempah, saya buatlah,” katanya, menambah harga bagi sebuah bakul bermula dari RM95 manakala set buaian lengkap berharga RM480.

Selain mengajar cara membuat bakul rotan apabila ada permintaan, Eng berkata penyertaan beliau dalam bengkel, pameran dan sebagainya juga turut dibantu pihak tertentu termasuk HKK 2022 (23 Februari hingga 7 Mac 2022).

Manfaat platform dalam talian

Sementara itu, seiring dengan ledakan teknologi ditambah dengan pandemik Covid-19 yang mengubah seluruh corak kehidupan harian termasuk aspek hubungan komunikasi, perniagaan dan sebagainya, medium dalam talian dilihat paling berkesan ketika ini.

Perkara ini ditekankan oleh Presiden Persatuan Usahawan Internet Malaysia, Mohd Azrul Mohd Nor ketika ditemu bual Bernama.

Menurut beliau, golongan OKU perlu mengambil bahagian menggunakan platform dalam talian untuk memasarkan produk mereka berikutan permintaan terhadap produk kraf tangan tidak terhad untuk pasaran dalam negara.

kraf yang dijual di Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada 23 Februari hingga 7 Mac 2022. Foto Facebook Kompleks Kraf Kuala Lumpur

“Banyak inisiatif boleh diambil peluang dalam melebarkan sayap perniagaan dengan menggunakan media sosial seperti Facebook, YouTube, Instagram dan TikTok. Selain itu produk juga boleh dipasarkan melalui platform e-dagang seperti Lazada dan Shopee.

“Setakat ini saya melihat sudah ramai golongan OKU memasarkan produk mereka, namun pada masa sama kempen untuk membeli kraf tangan juga perlu dilakukan. Sekiranya lebih ramai yang mengambil bahagian memasarkan melalui platfform dalam talian, ia akan memberikan lebih banyak pendedahan barangan mereka dalam pasaran,” katanya, menambah pihaknya mengadakan kursus secara dalam talian untuk membantu usahawan OKU dan yang berminat boleh mendaftar di http://ahli.puim.org.my

Tidak menafikan aspek cabaran dan kesukaran yang dilalui oleh golongan OKU dalam memasarkan produk mereka dalam talian, Mohd Azrul berkata, pada masa ini tiada fokus khas secara berskala dan berterusan dalam menyelaraskan dan memantau golongan OKU terlibat.

“Golongan ini juga berhadapan cabaran dalam mendigitalkan sepenuhnya perniagaan mereka terutamanya daripada pengurusan inventori dan pemasaran. Selain itu golongan ini perlu diberikan latihan untuk meningkatkan kemahiran serta jualan produk,” katanya.

Pada masa yang sama, platform e-dagang perlu diperkasakan untuk golongan OKU yang menjalankan perusahaan kraf tangan kerana ia dapat membantu golongan itu secara menyeluruh untuk meningkatkan ekonomi mereka selepas era pasca pandemik Covid-19.

“Platform ini juga memberikan ruang dan peluang untuk pembuat produk yang unik dan kreatif berdaya saing. Maka usaha perlu diteruskan supaya peniaga OKU dapat melakukan penjualan dengan lebih kreatif dan berfikiran terbuka terhadap peluang yang ada,” katanya.

Kaji pasaran, kajian mendalam

Dalam usaha memperkasa hasil kraf tangan OKU, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut memberi penekanan kepada perkara yang sama termasuk kajian menyeluruh berhubung platform dalam talian yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sesuatu tindakan dilaksanakan.

Ketika menjelaskan hal ini, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM, Fatimah Zuraidah Salleh berkata, sebelum sesuatu projek dilaksanakan, pihak jabatan perlu mengenal pasti terlebih dahulu kekuatan setiap produk kraf tangan yang dihasilkan.

“Dari segi kualiti, stok dan kuantiti, ia perlu dijaga dan dikawal mengikut standard yang telah ditetapkan. Ditambah dengan keadaan pandemik Covid-19 yang tidak menentu sekarang ini, pelaksanaan platform tersebut perlu dikaji terlebih dahulu.

“Namun begitu, produk kraf tangan seperti lukisan dilihat mempunyai peminat yang tersendiri. Kita menerima sambutan yang baik daripada sektor korporat.

Hasil Produktiviti Kraf OKU turut mendapat perhatian Perdana Menteri semasa merasmikan Hari OKU pada 3 Disember 2021.

JKM, kata beliau, akan terus mempergiat usaha seperti menjalankan promosi mengetengahkan produk kraf tangan yang dihasilkan OKU termasuk melibatkan kerjasama pelbagai pihak bagi mewujudkan platform dalam talian khas untuk tujuan itu.

“Untuk bersaing di pasaran terbuka bukanlah sesuatu yang mudah kerana terdapat jenama yang kukuh dan dikenali, namun kita tidak berputus asa untuk terus mengetengahkan produk yang dihasilkan OKU,” katanya.

Menyentuh mengenai penglibatan OKU yang dilihat agak kurang dalam sesebuah pameran atau aktiviti yang dijalankan dalam mempromosikan produk kraf buatan Malaysia, Fatimah Zuraidah berharap agensi berkaitan dapat berganding bahu dengan memberikan peluang kepada golongan itu untuk terlibat sama.

“Pihak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dialu-alukan untuk membuat perbincangan awal berkaitan penglibatan golongan OKU dalam usaha mempromosikan produk kraf tangan yang dihasilkan. Secara tidak langsung ia dapat memberi peluang kepada golongan ini menjana dan meningkatkan sumber ekonomi mereka,” katanya.

Projek prowell

Antara inisiatif JKM dalam memasarkan produk kraf tangan OKU adalah menerusi Projek ProWell iaitu sebuah projek pemerkasaan ekonomi di bawah Bahagian Kebajikan Produktif Jabatan berkenaan.

Ia untuk golongan berkeperluan khas yang menggabungkan prinsip inovasi sosial, pembangunan inklusif, kebajikan produktif dan keusahawanan sosial.

ProWell Center yang terletak di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan OKU (PLPP) Bangi diwujudkan pada tahun 2016 dan berfungsi sebagai sebuah pusat atau hub bagi produk OKU, pengumpulan produk, pembungkusan, penghantaran, kawalan kualiti, galeri produk dan pusat latihan kepada kumpulan sasar jabatan.

Setakat ini, Projek ProWell berjaya mengeluarkan lebih dua ratus (200) jenis produk berunsurkan kraf tangan yang terdiri daripada Songket dan Batik. Bagaimanapun, berdasarkan trend jualan semasa, terdapat dua puluh empat (24) jenis produk hot item yang dikenal pasti mendapat permintaan tinggi oleh pelanggan dan dipasarkan bukan sahaja melalui laman sosial FaceBook tetapi juga melalui Instagram ProWell Project.

Projek ProWell juga sedang berusaha untuk membuat jualan secara dalam talian, menggunakan platform seperti dan mp@y sebagai salah satu cara penjualan produk. Pada penghujung Mac ini, produk-produk ProWell ini boleh dibeli melalui platform shoppe melalui akaun prowellproject. Sebagai permulaan, terdapat beberapa produk hot item terpilih akan dijual melalui platform tersebut.

“Sehingga kini, produk daripada OKU yang dikumpulkan dipasarkan dan dipromosi bukan sahaja melalui pameran pada peringkat agensi serta kementerian tetapi juga di luar negara seperti di Dubai, Berlin, New York dan Paris. Promosi ini dilakukan menerusi lawatan kerja pengurusan tertinggi kementerian dan jabatan. Antara produk yang kerap menjadi pilihan adalah Beg Songket, Kotak Pensel Songket, Beg Telefon Songket, Beg Uncang Songket dan Beg Fail Songket.

Sehingga Mac 2021, Projek ProWell telah berjaya membantu tiga ratus dua puluh lima (325) orang peserta OKU yang mendapat manfaat penjanaan serta peningkatan pendapatan dan ada yang berjaya membuka perniagaan sendiri.

Pusat pemulihan dalam komuniti (PDK)

Fatimah Zuraidah turut menyentuh tentang program pemerkasaan ekonomi di pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) iaitu program bagi menggalakkan OKU berdikari dan secara tidak langsung turut menyumbang kepada produktiviti negara disamping membantu merancakkan lagi sektor ekonomi melalui bidang perniagaan.

“Pertubuhan PDK Seri Malindo di Melaka dan PDK Wakaf Tapai di Terengganu antara pertubuhan yang sangat aktif dalam mempromosikan program pemerkasaan ekonomi di pusat PDK dengan mewujudkan bengkel jahitan bagi OKU menjalani latihan dan aktiviti pemerkasaan ke arah berdikari melalui jahitan dan kraf.

Menurut Fatimah Zuraidah, setakat ini, PDK Seri Malindo dan PDK Wakaf Tapai sangat aktif dalam mempromosi perkhidmatan dan produk termasuk di media massa, FaceBook, blog (serimalindo.blogspot.com), platform seperi shopee, camdy, Craf E- Shopee, E-Craf Bazaar.

“Pertubuhan PDK Seri Malindo dan PDK Wakaf Tapai juga telah berkembang dengan mewujudkan koperasi usahawan PDK Berhad dan Koperasi Komuniti Cakna Wakaf Tapai Marang Berhad bagi tujuan mempromosikan atau memperkenalkan produk OKU. Selain itu, ia juga adalah salah satu platform untuk pelatih OKU berniaga,” katanya.

Hasil promosi, kedua-dua PDK ini sering dikunjungi oleh pelawat dari dalam dan luar negara dan mendapat tempahan daripada pelbagai pihak.

– BERNAMA


Pengarang :