ADNSELANGOR

Permohonan baucar beli-belah Aidilfitri DUN Batang Kali dibuka sehingga 14 April 

SHAH ALAM, 15 MAC: Permohonan baucar beli-belah sempena Hari Raya Aidilfitri dibuka kepada masyarakat sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali sejak Jumaat lalu sehingga 14 April depan.

Pegawai penyelaras Saifuddin Shafi Muhammad memaklumkan sebanyak 450 baucar Jom Shopping bernilai RM100 disediakan khusus untuk ketua isi rumah berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan.

“Permohonan ini hanya dibuka kepada keluarga berpendapatan rendah (B40), manakala penerima Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) serta Skim Mesra Usia Emas (SMUE) adalah tidak layak untuk berbuat demikian.

“Tapisan akan dibuat melalui ketua kampung, persatuan penduduk dan ahli majlis bagi mencari mereka yang benar-benar layak memperoleh manfaat ini memandangkan keluarga B40 di Batang Kali sangat ramai,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau menjelaskan penerima yang layak boleh membeli barang keperluan di Pasaraya Econsave Batang Kali pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

“Justeru, kita berharap baucar ini sedikit sebanyak memberi kelegaan sekali gus meringankan beban penduduk kurang berkemampuan untuk membuat persiapan menyambut Syawal,” katanya.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan menyasarkan golongan B40 sebagai inisiatif jangka panjang bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Penyerahan bantuan disalurkan kepada komponen utama kaum di Selangor mengikut perayaan masing-masing.


Pengarang :