EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni (dua, kiri) menerima cenderamata daripada EXCO Perdagangan Industri dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang Dato’ Abdul Halim Hussain (kanan) pada Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 5 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Persidangan halal Selangor jadi rujukan Pulau Pinang anjur ekspo

SHAH ALAM, 6 MAC: Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) dijadikan rujukan Kerajaan Pulau Pinang untuk menganjurkan Ekspo Dan Persidangan Halal Antarabangsa Penang (Pihec) 2022 pada 1 Julai nanti.

EXCO Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang Dato’ Abdul Halim Hussain berkata pihaknya datang ke persidangan tersebut bersama beberapa usahawan untuk melihat sendiri sambutan pengunjung.

“Saya tidak ragu-ragu menganjurkan Pihec kerana mendapati ekspo di Selangor ini masih lagi relevan dan kehadiran orang ramai amat memuaskan khususnya usahawan yang ingin menjalin kerjasama dalam hubungan perniagaan ke perniagaan (B2B).

“Selain itu, ini peluang usahawan Pulau Pinang memperluaskan pasaran produk ke Selangor dan tidak terhad di satu negeri sahaja. Buat masa ini, usahawan menyertai Selhac berpuas hati serta memaklumkan bertemu dengan rakan kongsi,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, usahawan produk kecantikan, Siti Nurazlina Mat Saad berkata pihaknya bersyukur diberi peluang memperluas jaringan perniagaan di Selangor menerusi Selhac.

Siti Nurazlina Mat Saad membuat corak inai kepada pengunjung di gerainya pada Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 6 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kerajaan Pulau Pinang beri peluang kepada produk saya iaitu inai yang boleh digunakan di tangan dan rambut untuk dipromosi di sini serta menembusi pasaran halal antarabangsa.

“Setakat ini, sambutan memuaskan dan dikunjungi beberapa pihak yang mahu bekerjasama bagi segmen pengeluaran produk tulen (OEM) serta mendapat ejen baharu,” kata pengasas produk Inaicubits.


Pengarang :