Selangorkini
EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian (dua,kiri) memberi sumbangan bakul makanan kepada penduduk Kampung Orang Asli Sungai Dua, Pulau Ketam, Pelabuhan Klang pada 4 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peruntuk RM1 juta naik taraf rumah, kemudahan kampung Orang Asli

PELABUHAN KLANG, 5 MAC : Kerajaan Selangor memperuntuk sejumlah RM1 juta untuk membina dan menaik taraf kediaman serta kawasan perkampungan masyarakat Orang Asli di negeri ini.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat terperinci daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mengenai perkara tersebut sama ada perlu dibaiki atau dibina baharu.

“Kita sedakan dana bagi tujuan keselesaan masyarakat Orang Asli. Justeru kita akan dapatkan maklum balas Jakoa mengenai rumah yang perlu dibaiki atau dibina baru.

“Bukan sahaja rumah, kita juga akan melihat kemudahan seperti jeti yang perlu dibaik pulih, kita akan kumpul maklumat terlebih dahulu sebelum perhalusi kos perbelanjaan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan dan agihan bakul makanan di Kampung Orang Asli Sungai Dua, Pulau Ketam, Pelabuhan Klang di sini.

Mengulas jangkaan projek itu bermula, Loy Sian berkata pihaknya akan berusaha secepat mungkin selepas maklumat lengkap diperoleh.

Pada 26 November tahun lepas, Dato’ Menteri Besar menerusi Belanjawan #Selangor 2022 mengumumkan peruntukan tersebut untuk meningkatkan keselesaaan masyarakat Orang Asli.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana berkenaan memfokus kepada program membina, baik pulih dan naik taraf kedaifan kediaman di perkampungan mereka.

 


Pengarang :