ADN Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail ketika usul menyembah ucapan terima kasih serta menjunjung kasih ke atas titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada sidang Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Keempat Belas Tahun 2022 di Bangunan Annex pada 15 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Peruntukan lebih RM100 juta bantu mangsa bah dapat pujian pembangkang

SHAH ALAM, 15 MAC: Langkah Kerajaan Negeri melancarkan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) bagi membantu penduduk terkesan bah pada Disember lalu, mendapat pujian pihak pembangkang.

Ketuanya, Datuk Rizam Ismail mengakui inisiatif membabitkan peruntukan hampir RM106 juta itu mampu meringankan beban semua mangsa.

“Ucapan tahniah harus diberikan kepada Kerajaan Negeri walaupun berlaku sedikit kelewatan terhadap bantuan itu,” katanya ketika membahaskan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Kejadian banjir pada Disember lalu akibat hujan lebat luar biasa menyebabkan banyak kawasan di negeri ini ditenggelami air selama beberapa hari.

Sehubungan itu Dato’ Menteri Besar mengumumkan dana RM100 juta bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan wang tunai RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.

Bantuan yang diumumkan pada 21 Disember itu memberi manfaat kepada 114,081 ketua isi rumah.

Setakat 28 Februari lalu, Klang mencatat jumlah penerima paling ramai iaitu 60,427 isi rumah diikuti Petaling (20,948 penduduk) dan Kuala Langat (10,904 orang).

Sebanyak 7,834 keluarga di Hulu Langat; 6,878 (Sepang), 5,915 (Kuala Selangor) dan 1,041 (Gombak) turut mendapat bantuan tersebut.


Pengarang :