Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) Norita Mohd Sidek ketika ditemui Media Selangor selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan di Kompleks Persatuan Orang Buta Malaysia di Brickfields, Kuala Lumpur pada 31 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Peruntukan sehingga RM5,000 baiki surau, masjid rosak akibat bah Disember lalu

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menerima lebih 100 permohonan baik pulih surau dan masjid di seluruh negeri ini yang terjejas akibat banjir Disember lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Norita Mohd Sidek memaklumkan sebahagian permohonan sudah diluluskan dan menerima bantuan sekitar RM3,000 hingga RM5,000 mengikut jenis kerosakan.

“Selepas banjir kita dapat banyak permohonan daripada surau dan masjid bagi membaiki kerosakan dihadapi. Sekarang kita sedang proses permohonan tersebut, malah ada yang sudah terima.

“Kita akan cuba sedaya upaya untuk membantu dengan membuat pertimbangan sama rata. Pembaikan surau dan masjid penting, tambahan lagi kita menghampiri bulan puasa,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan bantuan kepada 17 orang kelainan upaya (OKU) penglihatan di Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Brickfields di sini hari ini.

Sementara itu, Norita berkata pihaknya mengatur pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi mengimarahkan Ramadan tahun ini.

Menurutnya aktiviti meliputi berbuka puasa bersama anak yatim dan warga emas termasuk sumbangan kepada individu memerlukan.

Pada 26 Mac lalu, Dato’ Menteri Besar berkata sejumlah RM2 juta diperuntuk MBI sempena Ihya’ Ramadan tahun ini yang akan diagih kepada masjid, surau serta pelbagai pihak lain.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Kerajaan Negeri menerusi jabatan agama turut menyumbang wang tunai untuk penyediaan moreh dan program menyantuni masyarakat.


Pengarang :