Ashikin Abu Bakar menggunakan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) ketika tinjauan Media Selangor di Seksyen 19, Shah Alam pada 10 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pindah baki nilai kupon parkir kertas gores ke akaun SSP bermula 26 Mac

SHAH ALAM, 24 MAC: Pemegang kupon parkir kertas gores boleh memindahkan baki nilai kupon kepada kredit aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) mulai 26 Mac ini.

Inisiatif itu dilaksanakan selepas mengambil kira kebimbangan mereka yang berdepan kerugian selepas SSP bermula April ini.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata orang ramai yang masih memegang kupon kertas gores perlu mendaftar sebagai pengguna SSP untuk berbuat demikian.

Pendaftaran boleh dilakukan dengan memuat turun aplikasi SSP di Google Playstore, Apple Appstore atau Huawei store.

“Kerajaan Negeri ambil maklum kebimbangan rakyat mengenai kupon kertas yang masih dimiliki akan terbatal dan menyebabkan mereka rugi setelah kita kuat kuasakan SSP April ini.

“Kerajaan Selangor memberi jaminan nilai baki kupon kertas yang masih belum tamat tempoh boleh dipindah nilai ke akaun SSP masing-masing bermula 26 Mac,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Bermula 1 April, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dikehendaki menggunakan sepenuhnya sistem SSP dan memansuhkan sistem kupon kertas demi kemudahan orang awam.

Untuk rekod, aplikasi SSP telah menjimatkan 1,041,221 kilogram kertas sejak diperkenalkan pada tahun 2018. Sehingga kini, SSP mempunyai 1,963,241 pengguna berdaftar.


Pengarang :