Anggota polis membantu penumpang dari ketibaan antarabangsa untuk membuat pemeriksaan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 20 September 2021. FOTO BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pintu sempadan dibuka 1 April, pelancong Eropah minat kunjungi Malaysia

KOTA BHARU, 24 MAC: Pelancong dari Eropah khususnya United Kingdom menunjukkan minat tinggi untuk datang bercuti ke Malaysia apabila pintu sempadan negara dibuka 1 April ini.

Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata pembukaan sempadan negara juga mendapat reaksi positif daripada pelancong India serta negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand.

Namun begitu, beliau berkata kemasukan pelancong dijangka tidak sama seperti sebelum pandemik COVID-19 kerana masih ada negara tidak membenarkan rakyat mereka keluar melancong.

“Jadi, kita akan terima kedatangan pelancong secara berperingkat, mungkin pelancong dari negara Eropah khususnya United Kingdom yang membenarkan rakyat keluar melancong dan pada masa sama boleh menerima kemasukan pelancong luar ke negara mereka.

“Sejak sebulan lepas, kita memang menerima banyak pertanyaan menerusi media sosial daripada pelancong Eropah,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian MATTA Fair Kelantan 2022 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Penggembaraan Malaysia (MATTA) Mohd Akil Mohd Yusof.

Sementara itu, Mohd Akil berkata pembukaan sempadan pada 1 April nanti membantu mencapai sasaran kemasukan kira-kira dua juta pelancong dari luar negara ke Malaysia pada tahun ini.

“Semasa pelaksanaan Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi, memang majoriti pelancong adalah daripada negara Eropah. Apabila pintu sempadan dibuka pelancong daripada Thailand, Singapura, Indonesia dan Timur Tengah juga dilihat berminat untuk datang bercuti ke Malaysia.

“Insya-Allah, semua ahli MATTA sudah bersedia untuk menerima kedatangan pelancong, malah sasaran dua juta pelancong mampu dicapai,” katanya.

Mohd Akil berkata MATTA dan Tourism Malaysia amat berharap agar syarikat penerbangan antarabangsa memulakan semula penerbangan serta menambah kekerapan keluar masuk ke negara ini, sebagai membantu usaha pembukaan sempadan negara.

“Ini amat diperlukan kerana ada syarikat penerbangan telah mengurangkan kekerapan penerbangan dalam tempoh pandemik Covid-19. Sebagai contoh tiada penerbangan terus daripada India ke Malaysia ketika ini, pelancong yang ingin datang mereka perlu terbang ke Dubai sebelum ke Kuala Lumpur,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :