Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli (dua, kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mahmud Abbas (dua, kanan) merasmikan pembukaan semula De Palma Hotel ketika majlis pelancaran di De Palma Eco Resort, Kuala Selangor pada 29 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKNS bina kilang kos rendah bantu usahawan IKS

KUALA SELANGOR, 29 MAC: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membina dua buah kilang kos rendah pada tahun depan bagi merancakkan ekonomi khususnya dalam kalangan industri kecil dan sederhana (IKS) di luar bandar.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datuk Mahmud Abas berkata kilang empat tingkat di Kota Puteri di sini dan Klang itu masing-masing berkeluasan 2.02 hektar serta mampu memuatkan kira-kira 200 usahawan dan syarikat IKS.

Menurutnya, apabila siap kelak, kilang yang menelan kos pembinaan sehingga RM15 juta itu akan disewa pada kadar berpatutan kepada kalangan usahawan serta syarikat IKS.

“Pendekatan pembinaan kilang bertingkat secara kos rendah belum dilaksanakan lagi setakat ini. Ia antara lainnya berperanan sebagai program tanggung jawab sosial PKNS dalam membantu usahawan IKS luar bandar yang beroperasi dari rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pembukaan semula kemudahan penginapan De Palma Eco Resort Kuala Selangor, hari ini, yang kini dikendalikan oleh pengurusan baharu, The Blanket Hotel Sdn Bhd.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifili dan Pengarah The Blanket Hotel Ieja Hindon Salleh.

Mengulas selanjutnya, Mahmud berkata PKNS berharap kilang itu membantu ushawan terbabit dari segi membantu menyediakan lokasi operasi dengan lebih selesa.

“Kita akan turut memberi bantuan kepakaran dan dana pinjaman kepada mereka dari segi penggunaan mesin dan pembungkusan produk,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :