Keadaan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menuju ke Kuala Lumpur dan Johor Bahru pada 24 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Plus, TNB bekerjasama kurangkan pelepasan karbon di lebuh raya

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Plus Malaysia Bhd (Plus) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) bekerjasama untuk mengurangkan pelepasan karbon di lebuh raya Plus menerusi inisiatif kemampanan.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kedua-dua syarikat itu berkata inisiatif itu melibatkan pembangunan rangkaian stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) dan pemasangan pemantauan kecekapan tenaga serta sistem solar fotovolta di kawasan rehat dan rawat (R&R) terpilih di sepanjang rangkaian lebuh raya Plus.

Kerjasama itu akan membolehkan sistem pemantauan kecekapan tenaga dan solar fotovolta dipasang di bumbung R&R Ayer Keroh dan Tapah Arah Utara, dengan jumlah kapasiti gabungan melebihi 360 kilowatt puncak (kWp).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Baharin Din berkata TNB akan menyediakan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan stabil untuk ekosistem pengecasan EV.

“Selain itu, TNB juga menawarkan penyelesaian kepada Plus untuk mengoptimumkan kos elektrik dan menyokong sumber tenaga hijau dan mampan ke arah mengurangkan pelepasan karbon,” katanya.

Pengarah Urusan Plus Datuk Azman Ismail berkata inisiatif itu akan meningkatkan lagi rangkaian stesen pengecas EV untuk menyediakan pelanggan dengan perjalanan yang lebih lancar, selamat dan selesa di lebuh raya Plus.

“Inisiatif ini mengesahkan komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus Plus untuk menerajui industri lebuh raya ke arah bertukar menjadi lebuh raya pintar yang mampan alam sekitar,” tambahnya.

– BERNAMA


Pengarang :