Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) menyampaikan hadiah kepada Pengarah AJC Planning Consultants Sdn Bhd, TPr Ahmad Jefri Clyde (tengah) dan Pengarah Garis Architects Sdn Bhd, Ar. Haryati Abdul Halim, (dua, kanan) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 1 Mac 2022. Turut sama Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kasim (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

PNSB bina mercu tanda baharu Shah Alam berkonsepkan taman

SHAH ALAM, 1 MAC: Bandaraya Shah Alam bakal memiliki mercu tanda baharu apabila kompleks berkonsepkan pejabat dalam taman milik Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) siap sepenuhnya.

Pembinaan kompleks di atas tapak seluas 90.21 ekar di Sekyen 5 di sini, membabitkan dua fasa dan fasa satu dijangka siap dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata projek itu amat sesuai dibangunkan di dalam bandaraya terancang dan moden selain pusat pentadbiran Kerajaan Negeri.

Katanya, ia terletak bersebelahan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan bakal dilengkapi bangunan komersial dan kondominium.

“Projek ini mungkin mengambil masa, namun insya-Allah fasa pertama membabitkan kawasan seluas 30 ekar bakal menempatkan kompleks Kerajaan Negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Apabila siap, kompleks ini bakal menjadi pusat pentadbiran baharu Kerajaan Negeri, selain menempatkan jabatan dan syarikat induk GLC secara berpusat bagi kemudahan pelanggan,” kata Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Beliau ditemui pada majlis penyampaian hadiah pertandingan reka bentuk cadangan pembangunan kompleks kerajaan dan GLC serta komponen komersial di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Raja Ahmad Shahrir berkata fasa kedua membabitkan pembinaan komponen komersial dan kondominium di tapak seluas 60.21 ekar dan ia mampu memberi pulangan kepada anak syarikat yang sudah beroperasi lebih 30 tahun.

“Kompleks ini akan menjadi kebanggaan dan kemegahan PNSB selain mencatat sejarah sebagai GLC yang proaktif,” katanya.

Terdahulu, konsep ‘State of Art’ berinspirasikan kelopak bunga dan palet mengangkat AJC Planning Consultants Sdn Bhd selaku pemenang pertandingan yang dianjur pada November lalu.

Pertandingan berakhir bulan lepas turut disertai GDP Architecture Sdn Bhd, AY Architecture Sdn Bhd serta Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

 


Pengarang :