Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
SELANGOR

Polis tahan dua beranak, rampas dadah bernilai RM1.95 juta

SHAH ALAM, 15 MAC: Polis menahan seorang bapa dan anak lelakinya serta merampas dadah jenis methamphetamine dianggar seberat 54.06 (kg) kilogram bernilai kira-kira RM1.95 juta dalam serbuan di Bandar Saujana Putra, Jenjarom, dekat sini, Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor ACP Ahmad Jefferi Abdullah berkata lelaki warganegara Thailand berusia 49 tahun dan anak lelakinya yang merupakan rakyat tempatan berusia 26 tahun itu ditahan pada 4.50 petang di sebuah kawasan tempat letak kereta.

Beliau berkata hasil serbuan tersebut, polis merampas satu kotak berwarna coklat berisi 10 bungkusan teh cina bertulisan Guanyinwang mengandungi dadah yang dianggar seberat 10.2 kg.

“Susulan itu, pada pukul 6.20 petang hari sama, polis memeriksa sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Saujana Putra dengan dipandu arah kedua beranak itu.

“Hasil pemeriksaan menjumpai dua lagi kotak berwarna coklat mengandungi 43 bungkusan teh sama masing-masing berisi dadah jenis sama dengan anggaran berat keseluruhan 43.86 kg. Dadah tersebut dipercayai berasal dari negara jiran untuk dipasarkan di negeri ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ahmad Jefferi berkata semakan mendapati anak lelaki tersebut mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 namun hasil saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya negatif terhadap dadah.

Beliau berkata polis turut menyita sebuah kenderaan dan wang tunai berjumlah RM60,400 manakala kedua-duanya yang menetap di Kelantan kini direman hingga 17 Mac untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA


Pengarang :