Empangan Klang Gate di Hulu Klang. Foto wikimapia.org
AGENDANASIONAL

Polis: Tiada tanah runtuh, pergerakan tanah disebabkan kerja baik pulih jalan

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Kejadian pergerakan tanah di Jalan Kolam Air, Kampung Warisan, Taman Melati, dekat sini petang semalam adalah disebabkan kerja baik pulih jalan menuju ke empangan Klang Gate, kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak.

Beliau berkata hasil siasatan dilakukan bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), kejadian tersebut melibatkan sebuah rumah dihuni empat orang iaitu sepasang suami isteri bersama dua anak.

Mohamad Farouk berkata bagaimanapun, tiada sebarang kerosakan dan kemalangan jiwa berlaku, hanya belakang rumah berkenaan terkena sisa runtuhan akibat pergerakan tanah itu.

“Setelah pihak jurutera MPAJ membuat penelitian, tiada sebarang kejadian tanah runtuh berlaku,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata dalam kejadian pukul 6.29 petang itu, hujan yang turun terlalu lebat menyebabkan air hujan telah membawa sisa pembinaan tersebut sehingga melimpah ke belakang rumah.

“Pihak kami dimaklumkan oleh penghuni rumah tersebut bahawa semasa kejadian, hanya pasangan suami isteri itu sahaja yang berada di rumah manakala dua anaknya tiada kerana sedang bekerja, polis juga menasihati pemilik rumah supaya mengosongkan kediaman untuk keselamatan,” katanya.

Selain itu, beliau menasihati orang ramai dan pemilik rumah yang dibina di atas bukit supaya sentiasa peka dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dan berhati-hati kerana kekerapan berlaku tanah runtuh yang disebabkan oleh hujan lebat.

– BERNAMA


Pengarang :