Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir berkempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Muar dalam pilihan raya negeri Johor pada 2 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PRN Johor: Anwar yakin calon KEADILAN mampu tembusi kubu kuat Umno

MUAR, 3 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim menaruh keyakinan calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mampu menembusi kubu kuat Umno dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Presiden KEADILAN itu menjelaskan perkara tersebut bukan mustahil berdasarkan kerusi beberapa kubu kuat Umno pernah dimenangi pembangkang sebelum ini.

Namun, beliau yang juga ketua pembangkang mengingatkan kejayaan hanya boleh dicapai jika jentera parti bekerja keras menyampaikan penerangan kepada rakyat.

“Jangan kita anggap itu kubu kuat, ini bukan kubu. Yang penting sedarkan rakyat, kena gerakkan lebih ramai bekerja.

“Kalau tanya saya puas hati? Tidak, belum cukup. Kita kena bergerak di lapangan. Beri sokongan kepada calon,” katanya pada siri jelajah Johor-Zon Utara di Bilik Gerakan Utama DUN Gambir di sini malam tadi.

Memberi contoh kemenangan Shamsul Iskandar Mohd Akin ke atas Tun Mohd Ali Mohd Rustam dalam pilihan raya umum pada 2018, Anwar mengingatkan kejayaan itu berlaku di kerusi tradisi Umno.

“Bukan calang-calang. Dia (Shamsul) kalahkan Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang ketika itu ketua menteri Melaka. Hang Tuah Jaya itu kubu Umno tetapi dia boleh menang.

“Seperti (Parlimen) Ledang tidak pernah dimenangi pembangkang tetapi kita menang juga selepas itu,” katanya.

Seramai 20 individu bertanding atas tiket KEADILAN dalam PRN Johor termasuk bekas Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik.

Seramai 2.597 juta pengundi berdaftar termasuk Undi 18 layak mengundi pada 12 Mac pada PRN Johor.


Pengarang :