Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berucap pada program Dialog Ketua Polis Johor bersama Warga Felda Tenggaroh di Tanjung Leman pada 20 Feb 2022. Foto Facebook Polis Johor
AGENDA NASIONAL

PRN Johor: Polis terima 140 laporan, 37 kertas siasatan dibuka

BATU PAHAT, 12 MAC: Polis Diraja Malaysia menerima sebanyak 140 laporan membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bermula dari 26 Feb hingga Khamis, dengan 37 kertas siasatan telah dibuka.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kes tertinggi yang disiasat adalah di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat kepada poster atau sepanduk parti politik yang melibatkan 13 kertas siasatan.

Antara kes lain yang dilaporkan adalah berkaitan ceramah tanpa permit, pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) dan perbuatan yang boleh merebakkan Covid-19 dan hantaran berbaur fitnah menerusi media sosial.

Bercakap kepada media selepas menyampaikan amanat kepada pegawai dan anggota polis sempena PRN Johor di Dewan Sultan Ibrahim, Univeraiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini malam tadi, beliau berkata sebanyak 17 “kawasan panas” telah dikenal pasti dan menjadi tumpuan pada PRN kali ini antaranya berdasarkan sentimen persaingan politik.

Kamarul Zaman berkata seramai 10,988 anggota dan pegawai melibatkan 5,594 pegawai dan anggota daripada Kontinjen Johor dan 5,394 lagi bantuan luar telah bersiap siaga bagi menjaga ketenteraman awam dan keselamatan negeri ini bagi memastikan kelancaran PRN untuk rakyat keluar mengundi dan proses demokrasi.

Daripada jumlah berkenaan, katanya sebanyak 112 pasukan khas yang dikenali sebagai “Pasukan Cantas PRN Johor” melibatkan 448 pegawai dan anggota telah diatur gerak untuk menjaga keselamatan serta menjalankan risikan.

Hari ini merupakan hari pengundian bagi PRN Johor.

– BERNAMA


Pengarang :