Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) beratur bagi menunggu giliran untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi ketika proses undi awal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.29 Mahkota sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Kem Mahkota hari ini. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

PRN Johor: Rakyat Malaysia di Singapura bantu hantar kertas undi pos

SINGAPURA, 8 MAC: Ketika rakyat Johor mengundi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 pada Sabtu ini, pengundi yang bekerja dan menetap di seberang tambak turut mengundi melalui undi pos.

Justeru, sukarelawan dalam kalangan rakyat Malaysia di bawah naungan 1thirdmedia, berganding bahu mengumpul kertas undi pos tersebut di sekitar republik ini dan dihantar ke Johor.

Kira-kira 5,000 kertas undi pos dikumpul setakat ini.

“Dua penghantaran telah dibuat pada 6 dan 8 Mac. Penghantaran ketiga iaitu yang terakhir akan dibuat pada 10 Mac ini,” menurut sukarelawan Farrah Diyana Mohamad Ali kepada Bernama.

Menurut Diyana, 34, lima pusat pengumpulan ditetapkan meliputi kawasan tengah, timur, barat, utara dan selatan pulau Singapura sebelum ia disatukan untuk dihantar ke Johor.

“Ia bagi memudahkan mereka yang terikat dengan waktu kerja untuk menghantar sampul kertas undi ke perkhidmatan pos di sini. Sekurang-kurangnya ia dapat menjimatkan masa dan kos,” kata Diyana.

Untuk tiga hari pertama sejak 1 Mac Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan sudah mengeluarkan sebanyak 36,729 kertas undi pos kepada yang layak untuk mengundi secara pos pada PRN Johor.

Dari jumlah itu, sebanyak 7,814 undi pos dikeluarkan bagi kategori Borang 1B iaitu warga Malaysia yang berada di luar negara.

Semua kertas undi pos perlu dikembalikan kepada pegawai pengurus Dewan Undangan Negeri berkaitan sebelum 5 petang pada hari mengundi iaitu Sabtu (12 Mac).

Sementara itu, Hafeez A Jaz, 36, yang sanggup mengambil tanggungjawab untuk menghantar kertas undi tersebut pada 10 Mac nanti merasa bangga dapat melakukan tugas itu demi negara.

“Saya tidak rasa ia sesuatu yang membebankan. Malah ini merupakan amanah bagi menentukan hala tuju negeri Johor untuk lima tahun akan datang,” kata bapa dua anak ini.

Beliau akan menggunakan laluan perjalanan lengkap vaksin (VTL) darat pada Khamis ini dan dijangka tiba di Larkin Sentral pada 1.30 petang.

-BERNAMA


Pengarang :