Orang ramai membeli pelbagai barangan keperluan pada program Jualan Prihatin Rakyat DUN Sungai Tua di Taman Gombak Permai, Gombak pada 13 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Program dapat sambutan, pengunjung hadir awal dapatkan barangan murah

GOMBAK, 13 MAC: Program Jualan Prihatin Rakyat di pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua hari ini mendapat sambutan apabila pengunjung sanggup datang awal dan beratur bagi mendapatkan barangan basah dengan harga lebih murah.

Warga emas Jasni Noh, 64, berkata beliau tiba di lokasi jualan seawal 9.30 pagi bersama isterinya untuk membeli ayam dan telur.

“Saya tahu mengenai program ini sejak minggu lalu dan mengambil kesempatan untuk beli barang keperluan pada harga berpatutan.

“Sebelum ini saya dan isteri pernah cuba dapatkan ayam tetapi habis atau harga terlalu mahal. Apabila ada program seperti ini, kami tak lepaskan peluang untuk membeli,” katanya kepada SelangorKini.

Jasni Noh, 64. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Suri rumah Maswari Mathor, 60, berkata beliau berharap program ini diteruskan sehingga Ramadan bagi memudahkan penduduk mendapatkan barangan keperluan.

“Apabila ada jualan macam ini, sudah pasti persiapan bulan puasa lebih mudah kerana khuatir barangan seperti telur dan ayam susah didapati.

“Terima kasih Kerajaan Negeri kerana menganjurkan program jualan murah yang meringankan beban rakyat,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hadir ke program Jualan Prihatin Rakyat DUN Sungai Tua hari ini.

Amirudin ketika ditemui memaklumkan program memberi peluang kepada penduduk menikmati pembelian barang keperluan dengan harga lebih murah daripada pasaran.


Pengarang :