Pengunjung membeli ayam segar dalam program jualan murah di Wisma PKPS, Shah Alam pada 7 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program jualan murah bantu rakyat berjimat hampir RM150,000

SHAH ALAM, 27 MAC: Program Intervensi Ehsan memberi penjimatan hampir RM150,000 kepada penduduk negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program jualan murah itu juga berjaya mencatat jualan sejumlah RM496,852.

“Alhamdulillah, Program Intervensi Ehsan yang bertujuan membolehkan barangan basah berkualiti dibeli pada harga lebih murah telah merekodkan jualan hampir RM500,000.

“Rakyat Selangor dapat berjimat hampir RM150,000. Jelajah akan diteruskan ke seluruh Selangor,” katanya menerusi Facebook.

Menerusi infografik yang dikongsi Amirudin, sebanyak 29,265 ekor ayam, 13, 200 papan telur, 448 kilogram daging dan 1,249 ikan terjual menerusi program berkenaan.

Program jualan murah dijalankan pada setiap hujung minggu menyasarkan 64 lokasi di seluruh negeri bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Selain telur dan ayam, produk lain yang dijual termasuk daging pejal segar berharga RM35 per kilogram, ikan kembung atau selayang (RM8 per pek) dan minyak masak.


Pengarang :