Kakitangan Institut Memandu Kecemerlangan Latihan (IMKL) Setapak memandu salah sebuah kenderaan latihan bagi memastikan kenderaan dalam keadaan baik untuk digunakan ketika tinjauan di IMKL Setapak pada 14 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Proses bukti konsep e-ujian lesen memandu diteliti, selesai hujung Mac

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Pelaksanaan sistem ‘e-Testing’ bagi pengambilan ujian lesen kenderaan kini dalam proses pembuktian konsep (POC) bagi memastikan pelaksanaannya menepati dan mematuhi peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Sum Agong berkata kementerian itu melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Projek e-Testing dan sebanyak empat syarikat memohon serta diberikan kelulusan menjalankan POC itu.

“Pada ketika ini, Jawatankuasa Teknikal sedang dalam proses penilaian ke atas sistem yang dibangunkan oleh syarikat-syarikat berkenaan. Laporan penilaian POC itu dijangka dapat dibentangkan ke Kementerian Pengangkutan pada akhir Mac 2022.

“Mana-mana syarikat yang berjaya dalam fasa penilaian POC akan ditawar untuk melaksanakan projek rintis bagi tempoh tertentu sebelum sistem ini mula diperkenalkan secara berperingkat di Institut Memandu di seluruh negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Anthony Loke Siew Fook (HARAPAN-Seremban) mengenai bilakah sistem e-Testing dapat dilaksanakan sepenuhnya untuk semua proses ujian lesen memandu oleh JPJ dan syarikat pembekal teknologi yang dipilih untuk melaksanakan sistem itu.

Menjawab soalan tambahan Loke mengenai kesungguhan kementerian dalam melaksanakan sistem itu, Henry berkata sistem baharu itu perlu melalui POC sebelum ke peringkat ujian konsep.

“Jadi adalah amat penting bahawa konsep baharu ini perlu diteliti dengan baik sebelum dilaksanakan kerana melibatkan masyarakat umum dan apabila diterima pakai nanti tiada masalah yang timbul,” katanya.

Menjawab soalan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) berkaitan kesiapsiagaan kerajaan dalam pemantuan dan pelaksanaan e-Testing kepada pemandu, Henry berkata ia bergantung kepada proses POC yang sedang dijalankan.

“Dijangkakan proses (POC) ini akan berakhir pada hujung bulan ini dan selepas itu akan dilaksanakan mengikut konsep yang dilihat baik untuk kegunaan masyarakat awam,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :