Petugas kesihatan melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Orang Ramai Serin, Cyberjaya pada 2 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PRU15: KKM, SPR bincang protokol selamat bagi individu positif Covid-19 mengundi

PUTRAJAYA, 21 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membangunkan protokol selamat untuk pengundi positif Covid-19 keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

“Covid-19 akan berada dengan kita. Kalau kita nafikan hak mereka (pengundi positif) untuk mengundi, kita nafikan hak berperlembagaan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Laporan Tahunan Clinical Research Malaysia (CRM) 2021 dan Laporan Projek Realisasi Fasa 1 (P1RP) di sini hari ini.

Pada hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri Johor 12 Mac lepas, seorang pengundi dikenakan kompaun RM1,000 kerana hadir ke pusat mengundi walaupun masih dalam tempoh kuarantin selepas dijangkiti COVID-19.

Khairy berkata KKM dan SPR sedang memikirkan langkah terbaik untuk pengundi positif Covid-19 keluar menjalankan tanggungjawab kepada negara.

“Ada kata bagi mereka undi pos tetapi kalau dijangkiti Covid-19 sehari atau dua hari sebelum (hari mengundi) macam mana?

“Jika mereka ingin pergi mengundi pula, siapa yang akan bawa mereka, atau bawa mereka ke saluran mana. Adalah kita akan ada saluran khusus untuk pesakit Covid-19. Jadi perkara ni semua melibatkan masa sedikit,” katanya.

Khairy berkata kesihatan awam perlu dijadikan keutamaan penting apabila membincangkan soal PRU15 dan tarikh ia bakal diadakan.

“Kita perlu cari masa paling sesuai iaitu masa dan tempoh risiko paling rendah untuk adakan PRU15 kerana ia libatkan ramai orang keluar berkempen dan mengundi,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata isu pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 akan dibincangkan dalam kalangan lima pemimpin utama UMNO atau disebut ‘Top Five’, dan menurutnya jika UMNO yakin mampu menang, pilihan raya tidak akan dilengahkan walaupun sesaat.

Sementara itu Khairy berkata KKM sedang mengkaji kesan varian Covid-19 jenis Omicron BA.2 di negara ini.

“Sekarang kita berdepan Omicron BA.2 dan bagaimana kesannya terhadap satu-satu kes dan kesan serius sedang dikaji supaya kita dapat buat satu rumusan ke arah menuju pandemik ,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :