Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mengurniakan ijazah kepada 1,000 graduan pada Istiadat Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-45 di Serdang pada 20 Mac 2022. Foto Facebook Universiti Putra Malaysia
AGENDANASIONAL

Raja Muda Selangor berkenan kurnia ijazah kepada 1,000 pelajar UPM

SERDANG, 20 MAC: Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan mengurniakan ijazah kepada 1,000 graduan pada Istiadat Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-45 di sini.

Baginda yang juga Pro Canselor UPM mengurniakan ijazah antaranya kepada graduan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Fakulti Sains, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan.

Dalam pada itu, Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman ketika berucap pada istiadat yang berlangsung di Dewan Pusat Kesenian dan Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah universiti itu mahu setiap graduan bersikap profesional, beretika dan beramanah dalam sebarang tuntutan pekerjaan.

Beliau berkata setiap graduan perlu memiliki nilai ihsan yang menebal dalam diri supaya dapat menzahirkan nilai integriti melalui sikap serta tindakan.

“Tunjukkanlah kepada masyarakat bahawa graduan UPM bukan sahaja hebat dalam akademik malah hebat dari aspek sahsiah,” katanya.

Istiadat konvokesyen yang bermula semalam hingga 24 Mac itu melibatkan seramai 6,142 graduan merangkumi 484 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana (1,611), Sarjana Muda (3,564) dan Diploma (483).

Mohd Roslan berkata graduan UPM perlu memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk menjadi warganegara yang baik demi Malaysia tercinta.

“Ikutlah resam padi, semakin berisi semakin tunduk. Sematkan juga semangat ‘berilmu berbakti’ dalam diri untuk membuktikan bahawa graduan UPM sememangnya berkualiti,” katanya.

Menurutnya, UPM akan terus memberi penerapan kemahiran insaniah kepada semua pelajar dengan memberi bimbingan agar graduan yang dilahirkan berketrampilan, berjiwa kentral serta berakhlak murni.

“Hal ini perlu kerana individu yang memperoleh kejayaan akademik akan lebih unggul dengan mempunyai sahsiah, budi pekerti dan perwatakan terpuji,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :