Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (kanan) berkenan menerima kunjungan ketua jurulatih skuad kebangsaan Kim Pan Gon (dua, kanan) dan delgasi FAM ke Pusat Latihan FAS, Shah Alam pada 28 Februari 2022. Foto Facebook Selangor FC
AGENDANASIONAL

Raja Muda Selangor harap Pan Gon bawa perubahan, tingkat permainan Harimau Malaya

SHAH ALAM, 1 MAC: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berharap ketua jurulatih baharu, Kim Pan Gon mampu membawa perubahan seterusnya mencipta kejayaan untuk skuad Harimau Malaya.

Tengku Amir Shah yang juga pengerusi Selangor FC berkata dengan kehadiran barisan jurulatih import diketuai jurulatih dari Korea Selatan itu diyakini membuka ruang bagi perkongsian ilmu pengetahuan bola sepak.

Titahnya, ini juga adalah peluang untuk pemain tempatan meningkatkan lagi tahap permainan apabila dipanggil ke pasukan kebangsaan.

“Ia akan memberikan kita satu perspektif baharu, idea baharu untuk cara kita berlatih, cara mempersiapkan pasukan dan juga dari sudut taktikal.

“Harap prestasi pasukan kebangsaan akan lebih meningkat dan kita dapat mencapai kemenangan serta kejayaan yang lebih baik,” titah Baginda menerusi Facebook Selangor FC.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (kiri) berkenan menerima kunjungan dan memberi penerangan kepada ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon dan delegasi FAM berhubung kemudahan disediakan di Pusat Latihan FAS, Shah Alam pada 28 Februari 2022. Foto Facebook Selangor FC

Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bertitah demikian ketika menerima kunjungan delegasi teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diketuai Pan Gon dan barisan jurulatihnya semalam.

Dalam lawatan itu, Tengku Amir Shah membawa Pan Gon dan kumpulannya melihat fasiliti disediakan di Pusat Latihan FAS di sini.


Pengarang :